Elak timbulkan kemarahan rakyat - Raja Nong Chik - Utusan Malaysia

Elak timbulkan kemarahan rakyat – Raja Nong Chik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Jun-  Ahli-ahli UMNO termasuk kepemimpinan tertinggi dinasihatkan agar bersikap rendah diri dan tidak menunjukkan kemewahan yang dimiliki sekiranya parti itu diberi mandat sekali lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, apa yang berlaku sebelum ini dipercayai telah menimbulkan kemarahan rakyat terhadap parti yang berusia 72 tahun itu.

“Nasihat saya bukan hanya kepada perwakilan Lembah Pantai tetapi pucuk pimpinan tertinggi parti juga, Janganlah hidup mewah. Kalau UMNO dapat berkuasa lagi, jangan tunjuk kemewahan. Biarlah merendah diri.

“Sepanjang 33 tahun, saya tengok ramai pemimpin UMNO baik di peringkat cawangan atau bahagian, bila naik sahaja (berkuasa) mereka berubah malah fikiran dan cara hidup mereka turut berubah. 

“Inilah yang telah menyebabkan kemarahan rakyat terhadap pemimpin dan parti,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lembah Pantai di Pusat Alumni Universiti Malaya (PAUM), di sini hari ini.

Raja Nong Chik turut mengumumkan beliau melepaskan jawatan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai kepada Timbalannya, Datuk Ramlan Askolani.

Sebanyak 381 perwakilan dari 53 cawangan UMNO bahagian Lembah Pantai menjalankan tanggungjawab mengundi pemilihan di peringkat bahagian G7 dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Raja Nong Chik dalam pada itu menyuarakan kebimbangan UMNO akan terkubur sekiranya kalah sekali lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Sekarang juga mereka (Pakatan Harapan) tengah berusaha untuk menjatuhkan parti seperti membekukan akaun UMNO, mungkin akan ada usaha untuk batalkan UMNO selepas ini.

“Jadi, kita kena lawan perkara-perkara begini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN