KUALA LUMPUR 23 Jun – Kerajaan Pakatan Harapan akan tetap meneruskan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), manakala projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-Singapura) akan dikaji semula.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan semula berhubung kos pembinaan projek sepanjang 688 kilometer yang menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan itu.
“Projek ECRL akan disemak semula supaya kita dapat runding semula tetapi HSR kita hendak kaji,” katanya dalam video yang dimuat naik portal berita Malaysia Insight, hari ini.
Dalam laporan sama, Guan Eng berkata, rundingan semula perlu dibuat kerana tidak masuk akal untuk kerajaan memansuhkan projek ECRL selepas telah membayar RM20 bilion.
Katanya, beliau telah mengarahkan Peguam Negara, Tommy Thomas untuk meneliti aspek perundangan dalam perjanjian kontrak HSR untuk membolehkan kerajaan berbincang dengan Singapura.
“Kita sudah semak angka, ada aspek kewangan, kejuruteraan, dan undang-undang. Kami telah kaji kedua-duanya dan kini hanya menunggu aspek perundangan daripada beliau,” katanya. – UTUSAN ONLINE









