Econsave sumbang 1,000 pakaian terpakai - Utusan Malaysia

Econsave sumbang 1,000 pakaian terpakai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT 3 Jun – Lebih 1,000 helai pakaian terpakai berjaya dikumpul Pasaraya Econsave Segamat hasil sumbangan orang ramai melalui projek Tabung Ziarah Kasih Econsave untuk diserahkan kepada golongan yang memerlukan.

Pengurusnya, Rusihan Hadi Rahmin berkata, projek yang bermula awal April lalu itu juga me­ngumpul sumbangan barangan makanan dan mendapat sambutan menggalakkan penduduk setempat dan pengunjung pasar raya tersebut yang prihatin terhadap nasib golongan memerlukan.

“Pada awalnya, projek ini kami adakan selama beberapa hari sahaja, namun terpaksa dilanjutkan berdasarkan permintaan penduduk setempat sendiri sehingga bakul besi yang disediakan untuk mengumpul barangan tidak mencukupi.

“Hari ini, kami menyerahkan sendiri sumbangan ini kepada wakil Pusat Tahfiz Sains Darul Ilmi yang merupakan satu daripada penerima dan berharap sumbangan ini mampu meringankan sedikit bebanan para pelajarnya,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurutnya, berdasarkan sam­butan menggalakkan pihaknya bercadang menjadikan program tersebut sebagai aktiviti tahunan bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Sementara itu, Guru Penolong Kanan Pusat Tahfiz Sains Darul Ilmi, Saadah Mohd. Ishak terharu kerana masih ada pihak yang prihatin terhadap kebajikan 36 pelajarnya.

Katanya, usaha murni yang dilakukan pihak Econsave itu bukan sahaja mampu membantu golo­ngan kurang bernasib baik malah secara tidak langsung dapat mengelakkan berlakunya pembaziran dalam kalangan masayarakat.

“Apa yang ditunjukkan Pa­saraya Econsave pada hari ini perlu dicontohi syarikat-syarikat swasta atau badan bukan kerajaan (NGO) kerana pusat tahfiz seperti kami tidak ada sebarang dana khas atau pemberi sumbangan yang tetap.

“Sumbangan ini memang meringankan beban kami sepanjang Ramadan dan mungkin manfaatnya akan berterusan sehingga Aidilfitri ini dan saya bagi pihak pengurusan mengucapkan terima kasih kepada Econsave,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN