KUALA LUMPUR 29 Jun – Syarikat perkhidmatan e-hailing, Grab digesa memperketatkan lagi proses saringan pendaftaran penumpang bagi memberi perlindungan keselamatan pemandu.
Selain itu, syarikat tersebut juga digesa melonggarkan sistem penalti kepada pemandu yang bertugas lewat malam, bagi membolehkan pemandu membuat pilihan untuk menolak penumpang yang mencurigakan atau difikirkan tidak selamat.
Seorang bekas pemandu Grab, Mohd. Shahrizat Jaswi mengakui kelemahan Grab adalah disebabkan pendaftaran penumpang sebagai pengguna perkhidmatan itu dilakukan tanpa saringan ketat, berbeza dengan proses pemilihan pemandu yang terpaksa melalui beberapa proses tapisan.
“Kami (pemandu) telah banyak kali mengutarakan perkara ni, memberi cadangan dan sebagainya, namun kemungkinan mereka lebih utamakan penumpang daripada keselamatan pemandu.
“Dalam sistem Grab, penumpang itu sendiri boleh menggunakan nama samaran ketika mendaftar di mana kebanyakannya tidak relevan dan tidak tertera di dalam kad pengenalan serta pasport.
“Perkara ini sudah tentu boleh menimbulkan curiga kepada pemandu sendiri dan membuat kami ragu-ragu untuk pergi mengambil mereka.
“Tetapi, jika kami menolak, kemungkinan untuk digantung kerja itu adalah besar. Jadi, mahu tidak mahu, kami terpaksa pergi ambil dan akhirnya mungkin penumpang yang dibawa adalah penjenayah. Kebanyakan penumpang yang bermasalah adalah warganegara asing,” katanya ketika ditemui Utusan Online.
Seorang lagi bekas pemandu Grab, Shafiq Afendi berkata, saringan pendaftaran penumpang melalui maklumat peribadi seperti kad pengenalan dan passport adalah langkah yang bijak.
“Kita perlu memberikan jaminan keselamatan kepada kedua-dua pihak, saringan penumpang itu perlu dilakukan dengan ketat,” katanya. – UTUSAN ONLINE









