MELAKA 20 Jun – Penyandang Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu yang juga bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron serta penyandang Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Seri Abd. Ghafaar Atan masing-masing bakal dicabar pada pemilihan parti, 30 Jun ini.
Setiausaha Kerja UMNO negeri, Datuk Zali Mat Yasin berkata, Idris bakal berdepan petandingan dua penjuru apabila dicabar Ahli Jawatankuasa Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohammad Ali Mohammad.
Sementara itu katanya, Abd. Ghafaar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan bakal menerima tentangan Naib Ketua bahagian, Nordin Ali serta Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO bahagian, Azerol Baharuddin.
“Hanya dua penyandang Ketua UMNO bahagian bakal dicabar memandangkan penyandang Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Tan Sri Mohd Ali Rustam; Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Seri Latiff Tamby Chik tidak akan mempertahankan jawatan tersebut pada pemilihan kali ini.
“Setiausaha Kerja UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh pula mempertahankan jawatan berkenaan selepas diisytiharkan menang tanpa bertanding,” katanya ketika dihubungi, di sini malam ini. – UTUSAN ONLINE











