PENAMPANG – Polis kini giat menjejaki 11 individu termasuk seorang ketua kumpulan yang dipercayai terlibat dalam kes pergaduhan di sebuah restoran Penampang Baru di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian lebih kurang 3.10 pagi tersebut, difahamkan tiga lelaki yang sedang makan di restoran terbabit telah didatangi dan dipukul sekumpulan lelaki.
Bagaimanapun, seorang daripada mereka berjaya beredar dan menyelamatkan diri.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, hasil siasatan mendapati semasa tiga rakan terbabit sedang makan di restoran secara tiba-tiba sekumpulan lelaki datang ke arah mereka.
“Mereka telah bertengkar sehingga menyebabkan kumpulan lelaki tersebut bertindak memukul mangsa menggunakan kerusi plastik.
“Sementara itu, seorang lagi mangsa pula ditetak pada bahagian kepala dipercayai menggunakan pedang samurai,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Mangsa kemudianya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.
“Susulan insiden ini, pihak polis kini memburu 11 lelaki berkenaan bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE










