ALOR SETAR 3 Jun – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) supaya berpegang kepada janji yang dibuat kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Menurut Dr. Mahathir, semua parti dalam PH perlu mengambil iktibar daripada kegagalan Barisan Nasional (BN) dan tidak bersikap tamak serta mengikut nafsu yang mana akan membuatkan rakyat bangkit menentang kerajaan.
“Kita mendapat sokongan yang begitu kuat sehingga terjatuhlah kerajaan terdahulu yang pegang yang kepada sogokan. Inilah sebabnya kejatuhan mereka (BN) dan kita perlu mengambil iktibar daripada kegagalan BN.
“Selama ini kita tegur BN yang secara besar-besaran terlibat dengan sogokan dan rasuah jadi kita tidak harus mengikut jejak langkah mereka yang menjadi tamak. Ini janji kita dulu sebelum PRU-14, saya yakin PH tidaklah begitu tamak sehingga melupakan bangsa, agama dan negara kerana hanya wang diperoleh mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Pimpinan dan Jentera Pilihan Raya PH Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










