LANGKAWI 2 Jun – Memperkukuhkan Dasar Pandang Ke Timur akan menjadi topik utama perbincangan yang disuarakan oleh Malaysia dalam Persidangan Antarabangsa Tahunan Nikkei, Jepun pada minggu depan.
Selain itu, kata Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kunjungan pertama ke luar negara itu selepas beliau kembali memegang jawatan itu akan turut melihat usaha-usaha mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun.
“Saya pergi ke Jepun setiap tahun untuk bercakap tentang masa depan Asia dalam Persidangan Antarabangsa Tahunan Nikkei.
“Tentu sahaja kali ini, saya ke sana sebagai Perdana Menteri baharu Perdana Menteri. Saya dan Perdana Menteri Shinzo Abe apabila bertemu kelak akan berbincang untuk mengukuhkan perhubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun.
“Saya akan bercakap lebih tentang Dasar Pandang Ke Timur dan pelaburan daripada Jepun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Pakatan Harapan Langkawi di sini hari ini.
Persidangan tersebut dijadualkan pada 11 dan 12 Jun ini di Tokyo dengan kehadiran pemimpin dari Asia termasuk badan dunia.










