PUTRAJAYA 9 Jun – PKR mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok, Dr. Idris Ahmad sebagai antara nama yang diketengahkan parti untuk mengisi jawatan Menteri Besar Selangor.
![]() |
|
IDRIS AHMAD
|
Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika memberitahu perkara itu berkata, nama Dr. Idris merupakan antara nama yang dikemukakan parti kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
“Terdapat nama-nama yang diberikan, (Dr. Idris) adalah salah seorang yang dinamakan sebagai calon,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Semarak Kasih Nur Ramadan di Sri Satria, di sini hari ini.
Sebuah portal sebelum ini menyebut ADUN Ijok itu dinamakan dalam surat cadangan oleh Wan Azizah kepada Sultan Selangor Isnin lalu.
Dengan memetik sumber dalam kepemimpinan Pakatan Harapan, portal itu menyebut surat cadangan itu turut mendapat sokongan daripada semua pemimpin negeri iaitu Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Selangor, Izham Hashim; Pengerusi PPBM Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari dan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua.
Istana Selangor sebelum ini mengumumkan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu dijadualkan pada 19 Jun ini di Istana Alam Shah, Klang iaitu empat hari selepas umat Islam menyambut Aidilfitri.
Mohamed Azmin yang ketika ini masih menyandang jawatan Menteri Besar Selangor sebelum ini dilaporkan berkata, kemungkinan calon yang bakal menggantikannya bukan daripada kalangan barisan Exco negeri yang sudah dilantik.
Berhubung peletakan jawatan Datuk A. Kadir Jasin sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan berkuat kuasa serta-merta hari ini, Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau belum mendapat maklumat terperinci berhubung perkara berkenaan.
“Saya tidak mahu memberi ulasan banyak tentang itu. Kemungkinan telah diberi gambaran bahawa dia telah menulis (sesuatu) yang sedikit menyinggung,” katanya.
Ditanya sama ada ahli perniagaan, Low Taek Jho berada di Taiwan, beliau berkata, perkara itu perlu ditanya kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam pada itu ketika berucap, Wan Azizah berkata, kerajaan mengalu-alukan semua pandangan dan saranan daripada semua pihak termasuk yang kurang bernasib baik agar pentadbiran negara berupaya membina Malaysia baharu yang lebih cemerlang dapat dilaksanakan dengan lebih menyeluruh.
Beliau berkata, pihaknya mahu kerajaan yang baharu lebih mesra dan memahami semua golongan masyarakat.
“Kita berharap tiada pihak yang ketinggalan dalam usaha untuk membangunkan negara. Oleh itu peranan semua pihak sangatlah penting dan bermakna kepada kami,” katanya.












