PUTRAJAYA 29 Jun- Sebanyak 60 anak-anak yatim dari Rumah Anak-Anak Yatim At-Taqwa Puchong, Selangor hari ini diraikan dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Hotel Dorsett Putrajaya.
Pengurus Besar Hotel Dorsett Putrajaya, Alfred Paulsen berkata, sejak beberapa tahun lalu, pihaknya telah bekerjasama dengan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) untuk menganjurkan majlis tersebut.
Beliau berkata, pihaknya tidak pernah melupakan golongan kurang bernasib baik termasuk anak-anak yatim untuk bersama-sama meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Program ini merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan kami. Sejak dibuka pada 2016, Dorsett Putrajaya sentiasa meraikan dan berkongsi kegembiraan dengan pelbagai komuniti masyarakat.
“Saya percaya program seumpama ini mampu memberi inspirasi kepada syarikat-syarikat korporat lain untuk menyumbang sesuatu kepada komuniti,” katanya ketika berucap dalam majlis itu di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ialah Naib Pengerusi Dorsett Hospitality International, Datin Jasmine Heng, Ketua Pegawai Eksekutif Tudung Kini Sdn. Bhd., JC Ng dan Pengasas Rumah Anak-Anak Yatim At-Taqwa, Norhayati Wan Adib.
Pada majlis tersebut, anak-anak yatim menerima sumbangan duit raya dan juga pelbagai barangan keperluan lain. – UTUSAN ONLINE









