Donald Trump akur ‘kemarahan’ rakyat - Utusan Malaysia

Donald Trump akur ‘kemarahan’ rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON 21 Jun – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memutuskan untuk menamatkan dasar yang memisahkan keluarga pendatang di sempadan negara ini dengan Mexico selepas perkara itu mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.

Keputusan itu dibuat selepas lebih 2,300 kanak-kanak pendatang dipisahkan daripada ibu bapa atau penjaga mereka ketika memasuki negara ini secara ha­ram sejak 5 Mei lalu dan ditempatkan di khemah-khemah khas selain tidak dibenarkan berhubung dengan ahli keluarga lain.

Jelas Trump, langkah tersebut akan menyatukan semula keluarga yang terpisah dan memaklumkan beliau tidak suka melihat mana-mana keluarga tidak bersama.

Beliau juga menegaskan bahawa tahap penguatkuasaan di kawasan sempadan bagaimanapun tetap akan diketatkan sebagai langkah ke­selamatan.

“Kami mahu negara ini selamat dan kita akan pastikan perkara tersebut. Pada masa yang sama, kita bertolak ansur kerana kita mahu semua keluarga bersatu,” katanya.

Arahan tersebut turut me­nyaksikan Jabatan Keselamatan Negara akan bertanggungjawab menguruskan keluarga serta kanak-kanak pendatang yang terpisah.

Namun, sehingga kini tiada sebarang rancangan untuk me­nyatukan semula kanak-kanak tersebut dengan keluarga yang terpisah, menurut beberapa laporan media AS yang memetik sumber dari Jabatan Perkhidmatan Hal Ehwal Awam dan Kesihatan negara.

Menurut laporan New York Times, keadaan itu me­nunjukkan golongan kanak-kanak tersebut akan terus terpisah dengan ibu bapa mereka yang ditahan ketika proses imigresen.

Isu itu sebelum ini mencetuskan kemarahan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat di seluruh negara termasuk ahli-ahli Parti Republikan sendiri dan komuniti antarabangsa menuduh pentadbiran Trump melakukan pencabulan hak asasi manusia.

Antara pemimpin dunia yang menyelar sikap Trump berhubung isu tersebut termasuk Perdana Menteri Britain, Theresa May; Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau dan pemantau hak asasi global, Majlis Eropah. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN