Minat Eden Hazard terhadap sukan bola sepak sudah mula disemai sejak dia kanak-kanak yang mana bintang Chelsea itu sering mencuri masuk ke dalam Braine-le-Comte’s Stade Sans Fond.
![]() |
|
|
Eden mewakili kelab yang menggunakan padang di stadium berkenaan, Stade Brainois pasukan yang turut diwakili oleh dua generasi keluarganya. Datuknya, Francis merupakan pengasas kepada kelab itu pada 1969 dam bapanya, Thierry serta adik-adiknya turut mewakili kelab tersebut.
“Ketika Eden berusia lima tahun, dia terlalu kecil untuk memanjat pagar. Dia berjaya mencuri masuk ke dalam padang bola,” kata Thierry.
Jika kini Eden menjadi salah seorang ikon bola sepak semuanya berpunca daripada ratusan jam yang dihabiskan olehnya menyepak bola di laman rumah.
“Tiada benda lain di halaman kami selain bola,” kata ahli sejarah kelab, Pascal Demoitiez.
Antara perkara yang menjadi ingatan Demotiez, dia berkata Eden merupakan kanak-kanak yang cepat faham berbanding rakan-rakannya.
“Sewaktu pertengahan 1990-an yang mana saya masih ingat lagi, saya sering menjerit ke arah kanak-kanak yang sering bermain bola di kawasan larangan.
“Saya nampak Eden berkaki ayam di kawasan kotak penalti dan dia dengan sistematik menyepak bola ke arah penjuru gawang gol. Saya terkejut dengan kanak-kanak itu yang tidak mempunyai ketinggian seperti rakan sebayanya,” kata Demoitiez.
Jurulatih rasmi pertama Eden adalah Michael Pauly, anak kepada pemilik kelab dan dia merupakan orang terawal yang menyedari kemampuan Eden untuk menyinar pada masa hadapan.
“Selepas tamat sesi latihan pertama, saya berkata kepada bapa ‘Ayah, kita ada pemain yang mempunyai bakat. Dia adalah Eden,” kata Pauly.
Setiap kejohanan walaupun menentang pasukan berprestij dari luar negara, Eden sering dinobatkan sebagai pemain terbaik.
“Anda mungkin buta jika tidak menyedari kualiti permainannya. Walau bagaimanapun kami diberitahu dia tidak terlalu mengimpikan untuk bergelar pemain profesional, menghabiskan masa dengan kelab divisyen dua, La Louviere iaitu kelab yang berpangkalan di bandar Eden dilahirkan,” kata Thierry yang juga merupakan jurulatih anaknya.
Selain itu juga, ibunya, Carina juga merupakan penyerang kepada kelab divisyen pertama liga bola sepak wanita di Belgium ketika dia mengandungkan Eden tiga bulan.
Kesemua anaknya kini bergelar pemain bola sepak. Thorgan yang berusia dua tahun lebih muda berbanding Eden kini beraksi bersama Borussia Moenchengladbach dan turut tersenarai dalam skuad Piala Dunia Belgium.
Adik bongsunya, Kylian menyertai skuad pembangunan Chelsea pada tahun lalu ketika berusia 22 tahun.
Eden yang sebelum ini merupakan kanak-kanak bertubuh kecil yang sering merangkak untuk mencuri masuk ke dalam stadium telah memenangi liga di Perancis dan England serta memiliki 82 cap bersama Belgium. – AGENSI












