SARANSK, Rusia 17 Jun – Penyerang Denmark, Yussuf Poulsen memanfaatkan kegagalan pemain tengah Peru, Christian Cueva daripada menyempurnakan sepakan penalti untuk mengesahkan kemenangan 1-0 pasukannya dalam aksi Kumpulan C Piala Dunia sebentar tadi.
Peru memulakan saingan lebih menyerlah, dengan banyak mengawasi tonggak Denmark Christian Eriksen di babak pertama, sebelum mereka dihadiahkan sepakan penalti susulan Poulsen menjatuhkan Cueva pada masa kecederaan.
Insiden tersebut membuatkan pengadil perlawanan Bakary Gassama merujuk sistem video bantuan pengadil (VAR) sebelum menghadiahkan sepakan penalti kepada Cueva yang terkenal dengan jolokan Aladdin.
Sepakan penalti Cueva bagaimanapun tersasar jauh, dengan Poulsen kemudian menghukum kerugian Peru menerusi ledakan gol pada minit ke-59 setelah memanfaatkan hantaran Eriksen.- REUTERS










