PASCA Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) perhatian rakyat kini bukan sahaja terarah kepada pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Harapan termasuk manifesto mereka yang kini dinilai satu persatu seperti di peringkat Pusat, namun apa yang penting adalah kelangsungan UMNO – Barisan Nasional (BN) termasuk di Kedah ketika ini.
Kemenangan hanya tiga kerusi daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini adalah satu tamparan hebat yang membuktikan penolakan besar-besaran rakyat terhadap parti itu.
Di Kedah, undi daripada anak-anak muda dan wanita yang dikatakan banyak mempengaruhi keputusan berkenaan dikaitkan dengan tawaran manifesto Pakatan Harapan seperti pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Tidak ketinggalan sindrom denial (penafian) yang tinggi tentang pengaruh Pakatan Harapan dan masalah dalaman parti yang gagal diselesaikan sehingga menjelang PRU-14. Boleh diandaikan keputusan PRU-14 pada 9 Mei lalu mengulangi sejarah PRU pada 2008 apabila Kedah buat kali pertama jatuh ke tangan pembangkang, cuma kali ini dalam skala lebih besar penolakan rakyat terhadap UMNO-BN.
Dalam keputusan PRU-14, Pakatan Harapan menguasai DUN selepas memenangi 18 kerusi sementara Pas, 15 kerusi. Pada PRU-13, BN memenangi 21 kerusi DUN setelah kembali merampas negeri ini daripada pembangkang apabila Pas sekadar meraih sembilan kerusi, PKR pula empat dan DAP, dua.
Sememangnya kenyataan itu amat pahit ditelan tetapi yang penting ia diterima dengan jiwa besar oleh pemimpin kerana adat dalam pertandingan tentu ada yang kalah dan ada yang menang.
Begitu juga walaupun kekalahan besar ini sudah tercatat dalam sejarah politik Kedah yang sentiasa rumit dan penuh liku,namun apa yang penting adalah untuk melihat UMNO-BN Kedah bangkit semula.
Barangkali sudah tiba masanya untuk pemimpin-pemimpin UMNO mengakhiri tempoh ‘berkabung’ ini apatah lagi ketika ini tumpuan yang perlu dititikberatkan UMNO adalah untuk memastikan perjalanan mesyuarat cawangan yang berlangsung sepanjang Ramadan ini lancar sebelum berlangsung ke peringkat bahagian selepas Aidilfitri ini.
Seperti diperkatakan oleh banyak pihak, pemilihan UMNO boleh dijadikan medan untuk pemulihan parti dengan penekanan kepada mengembalikan semangat ahli di peringkat akar umbi selain permintaan dan penawaran dalam memilih pemimpinnya.
Sesuatu diharapkan juga insiden pasca PRU 2008 tidak berulang dalam kalangan ahli UMNO apabila pemilihan ketika itu dijadikan medan untuk melampiaskan amarah dan geram kepada pemimpin bukan untuk menilai dan bermuhasabah sesama sendiri lewat jatuhnya Kedah kepada pembangkang.
Namun, setakat ini difahamkan mesyuarat yang berlangsung di peringkat cawangan ketika ini berjalan lancar sekali gus memberi isyarat baik.
Dengan kenyataan pemimpin di peringkat bahagian bahawa semua jawatan akan dipertandingkan seperti diinginkan oleh pemimpin-pemimpin muda parti maka seharusnya ia disambut dengan semangat baharu oleh semua ahli termasuk dalam kalangan orang muda.
Ini masanya untuk anak-anak muda dalam parti mengutarakan pandangan bernas demi membuktikan bahawa mereka layak memegang tampuk kepimpinan UMNO di peringkat cawangan mahupun bahagian masing-masing.
Namun, banyak yang barangkali bersetuju bahawa parti yang kuat antaranya harus mempunyai gandingan pemimpin lama yang berpengalaman dan baharu yang mempunyai aspirasi sendiri. Oleh itu, pemilihan tersebut harus juga dibuat berdasarkan prestasi atau khidmat pemimpin lama berkenaan selama ini.
Apa pun, walau di kala bergelar parti pembangkang kini, fokus yang serius dituntut termasuk untuk mengambil pendirian tegas dan jelas tentang perjuangan UMNO yang melangkau peribadi apatah lagi parti ini sinonim dengan perjuangan bangsa. Demi masa depan bangsa Melayu UMNO harus bertanggungjawab.










