Dasar baharu ganti DEB – MPM - Utusan Malaysia

Dasar baharu ganti DEB – MPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Jun – Majlis Perundingan Melayu (MPM) mencadangkan supaya satu dasar baharu bagi menggantikan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) diwujudkan untuk menjamin kelangsungan survival ekonomi bumiputera.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hasan Mad berkata, DEB sepatutnya dipinda atau ditambah baik dan tidak sewenang-wenangnya ditamatkan pelaksanaannya pada tahun 1990.

Katanya, untuk menamatkan pelaksanaan dasar itu, kerajaan sepatutnya wajib terlebih dahulu memperoleh per­ke­nan daripada Majlis Raja-Raja.

“Dalam hal ini, perkara itu tidak dilakukan, maka adalah salah di sisi undang-undang untuk DEB itu ditamatkan begitu saja.

“MPM telah pun menyerahkan nota cadangan mengenai Pengislahan Agenda Ekonomi Diterajui Komuniti Ekonomi Bumiputera, kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada bulan lepas dan kini menunggu masa untuk temu janji berjumpa beliau bagi menghuraikan lebih lanjut cadangan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Hasan berkata, pihaknya menyambut baik ke­nyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai keperluan dasar ekonomi probumiputera semasa temubual bersama Channel NewsAsia pada Selasa lalu.

“Dengan kenya­taan Perdana Menteri itu, MPM amat pasti semua institusi ekonomi yang ada tanggungjawab memajukan agenda ekonomi bumiputera, baik dalam kalangan agensi awam atau dalam kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) wajib merencana semula agenda ekonomi mereka.

“MPM amat yakin tentunya amanah ini dapat digalas dengan baik oleh menteri yang dipertanggungjawabkan merencanakan semula agenda ini iaitu Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. MPM dan seluruh Komuniti Ekonomi Bumiputera (KEB) menunggu langkah selanjutnya dari kerajaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN