KETUA jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah tidak menghadapi sebarang masalah untuk terus ‘menguji’ pemain-pemain muda yang berpotensi diserap masuk dalam pasukan bimbingannya selepas ini.
Dhaarma baru-baru ini dikejutkan dengan persaraan dua tonggak berpengalaman, Siti Rahmah Othman dan Norbaini Hashim selain kehilangan khidmat penyerang senior, Nurul Nabihah Mansur untuk jangka masa panjang kerana disahkan hamil anak pertama.
Ketiadaan tiga pemain utama itu dilihat boleh menjejaskan peluang Malaysian Tigress yang disasarkan untuk meraih pingat gangsa pada Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia Ogos depan.
Menyedari hakikat itu, Dhaarma bagaimanapun kekal tenang, namun sedar perlu merangka pelan masa depan dengan menggunakan banyak pemain muda seperti dua produk berjaya iaitu Nur Amirah Syakirah Zulkifli, 18, dan Nur Maizatulhanim Syafi Sheik Fuad, 17.
Dhaarma telah memberikan dua pendedahan antarabangsa berkualiti tinggi kepada kedua-dua pemain di posisi penyerang itu, selain seorang pemain pertahanan berusia 17 tahun, Nor Asfarina Isahyifika Isahhiddun.
“Saya tidak kisah berapa umur sama ada 15, 16 atau 17 tahun kalau rasa mereka berpotensi untuk menjadi pemain berkelas dunia. Saya percaya dengan perkara ini selepas melihat prestasi Amirah dah Syafi pada kejohanan antarabangsa.
“Apa yang mustahak sekarang ialah pemain itu perlu mempunyai bakat, barulah kami boleh mengasahnya ke satu tahap lebih tinggi. Oleh itu saya menggalakkan untuk mendapat lebih banyak pemain berbakat masuk ke dalam pasukan.
“Sekarang saya ada dua pemain tambahan turun berlatih bersama-sama tetapi buat masa ini tidak diserapkan ke dalam 26 pemain skuad senior. Walaupun sebagai pemain tambahan tetapi mereka mempunyai bakat yang besar,” katanya.
Mereka ialah pemain berusia 15 tahun dari Kuala Lumpur, Kirandeep Kaur dan Hasya Syahida Saifuddin, 17.
Selain tiga pemain berkenaan, Dhaarma juga mempunyai beberapa pemain muda dalam lingkungan usia 17 tahun yang dilihat berpotensi besar seperti Siti Zulaikha Hussin, Nur Atira Mohamad Ismail dan Putri Nur Batrisyia Noor Nawawi.
Difahamkan, Zulaikha bakal mengisi kekosongan di bahagian serangan menggantikan tempat Nabihah untuk pusingan awal kelayakan Sukan Olimpik 2020 iaitu Siri Hoki Terbuka Dunia di Singapura bermula 23 Jun hingga 1 Julai ini.
Malaysian Tigress, ranking No. 22 dunia, dijangka tidak berdepan masalah menjuarai kejohanan itu dengan menentang pasukan seperti Thailand, Kazakhstan, Hong Kong, Singapura dan Indonesia.
Bagaimanapun, Dhaarma tidak mahu terlalu yakin dan menggesa anak-anak buahnya agar menunjukkan tahap permainan setaraf pencapaian mereka sebagai pasukan keempat terbaik Asia dan pernah beraksi pada Separuh Akhir Liga Hoki Wanita Dunia 2017.
“Saya tidak mahu episod lama berulang. Contohnya, kami belasah Kazakhstan 13-1 sewaktu Januari 2017 tetapi kami bergelut untuk menewaskan pasukan yang sama sebelum menang apabila bertemu sekali lagi pada Disember tahun lalu.
“Cuba bayangkan dalam tempoh setahun kami cuma menang 2-1 selepas dahulu membelasah pihak lawan 13-1. Ia tidak masuk akal dan kami perlu menunjukkan peningkatan serta memberikan keseimbangan persembahan dalam mana-mana kejohanan.
“Apa yang mustahak bagi saya pada kejohanan itu ialah kemenangan dan corak persembahan pasukan. Semua perlawanan perlu diambil serius tidak kira menentang pasukan mana sekali pun,” jelas Dhaarma.










