JOHOR BAHRU 3 Jun – Pemaju projek Forest City, Country Garden Pacificview Sdn. Bhd. (CGPV) menganjurkan karnival bersama-sama masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Simpang Arang di Gelang Patah.
Program sehari yang julung kali diadakan baru-baru ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti antaranya sukenaka, pertandingan karaoke dan pemeriksaan kesihatan percuma.
Pengarah Komunikasi Korporatnya, Aeron Munajat berkata, program tersebut bertujuan untuk mengukuhkan hubungan pihaknya dengan masyarakat sekitar di kawasan pembangunan Forest City.
“Karnival Komuniti Kg. Simpang Arang ini dijalankan oleh CGPV dengan kerjasama Jabatan Kesihatan dan Persatuan Bulan Sabit Merah Johor Bahru serta Majlis Belia Gelang Patah yang bernaung di bawah badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, Kelab Alami.
“Penglibatan belia Kelab Alami yang bertunjangkan konsep pembangunan belia merupakan salah satu daripada tiga teras tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat kami,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Menurutnya, saringan kesihatan dikendalikan oleh Jabatan Kesihatan dan Persatuan Bulan Sabit Merah Johor Bahru, manakala Kelab Alami diberi peluang menguruskan aktiviti sukaneka.
Beliau berkata, selain dapat mengeratkan hubungan antara kedua-dua belah pihak, karnival itu turut membawa mesej pentingnya penjagaan kesihatan kepada komuniti Orang Asli kerana sebelum ini pihaknya dimaklumkan terdapat kes wabak tibi di kawasan berkenaan.
“Justeru, kami terpanggil untuk memastikan komuniti Orang Asli diberi pendedahan sewajarnya tentang kepentingan penjagaan kesihatan serta kewajaran mendapatkan rawatan yang baik daripada pengamal perubatan bertauliah.
Sehubungan itu Aeron berkata, CGPV sentiasa memberi fokus terhadap aktiviti CSR bersama-sama penduduk di lima buah kampung di sekitar Forest City.









