KUALA LUMPUR – Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) akan membentang cadangan subsidi bahan api kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad seawal-awalnya minggu ini.
Diketuai Menteri Kewangan sebanyak dua kali, Tun Daim Zainuddin, CEP setakat ini sudah menjalankan lebih 200 mesyuarat dengan pelbagai ketua agensi, syarikat dan individu sejak penubuhannya sebulan lepas bagi mengkaji pelbagai isu terutama mengenai subsidi bahan api, pemansuhan bayaran tol dan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Beliau berkata, mereka sudah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pemegang kepentingan yang berkaitan mengenai kaedah terbaik dalam melaksanakan perubahan subsidi bahan api sebelum membuat keputusan.
Orang kepercayaan Dr. Mahathir itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut, namun menegaskan subsidi bahan api akan berbentuk subsidi bersasar.
Bercakap kepada Bernama dalam wawancara eksklusif, Tun Daim berkata, CEP juga menyedari sepenuhnya impak kewangan ke atas pasaran akibat daripada pemansuhan bayaran tol.
“Walaupun kita mahu mengurangkan tol untuk rakyat, kita juga menyedari impak dalam pasaran jika tol dibatalkan dengan segera,” katanya.
CEP sedang mengenal pasti pelbagai pilihan mengenai cara untuk menangani isu ini, berpandukan kepada prinsip bahawa keputusan yang dibuat akan berjalan secara berperingkat dan berstruktur.
Ini akan memastikan keputusan akhir akan adil kepada semua pemegang kepentingan.
“Setakat ini, maklum balas daripada rakyat sangat menggalakkan. Tidak perlu memansuhkan tol serta-merta maksud saya mereka faham. Mereka tahu ia disebut dalam manifesto, sekarang realiti sudah diketahui mereka memahami kedudukan kewangan dan masalahnya.
“Kami telah memikirkan semua perkara ini. Kami cuba lakukan mengikut kaedah ini sehingga semuanya kembali seimbang. Pasaran akan gembira, pemiliknya gembira dan pengguna juga gembira,” katanya.
Pemansuhan tol merupakan antara janji pilihan raya Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). – Bernama











