SAUDARA PENGARANG, RAKYAT menolak UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam PRU-14 yang lalu adalah kerana faktor pemimpin dan kepemimpinan UMNO. Ada beberapa sebab perkara ini berlaku tanpa disedari oleh UMNO. Pertamanya, ialah amalan suka menangguhkan pemilihan parti dengan harapan untuk mengelakkan pepecahan dalaman UMNO. Tindakan ini walaupun nampak murni tetapi hanya elok di peringkat permukaan sahaja. Hakikatnya gelora di peringkat bawahan dalam kalangan ahli dan rakyat cuba dinafikan.
Pemimpin dan kepemimpinan UMNO perlu dinilai dalam tempoh masa tertentu. Sikap menangguhkan pemilihan parti menyebabkan pemimpin tidak dapat memahami kehendak akar umbi dan rakyat secara umumnya. Pemimpin UMNO berasa selesa dengan sokongan ditunjukkan oleh pemimpin peringkat Pusat dan Bahagian tetapi hakikatnya telah ditolak oleh rakyat terutama golongan muda.
Seperkara lagi, pemilihan parti yang diserahkan kepada 150,000 wakil parti juga patut dikaji semula. Walaupun kaedah ini nampak baik dan lebih demokratik tetapi sudah tidak sesuai dalam era ketika ini, era di mana semua ahli sepatutnya diberi hak bersuara dan memilih pemimpin.
Sebanyak 150,000 wakil yang memilih pemimpin UMNO sebenarnya tidak mampu mewakili kehendak tiga juta ahli UMNO yang semakin matang dan kritikal. Jauh sekali untuk mewakili sembilan juta pengundi dalam PRU-15 akan datang.
Oleh itu, UMNO harus berani berubah dengan radikal jika berhajat menjadi kerajaan dalam PRU-15 akan datang. UMNO harus mencari kaedah terbaik agar proses pemilihan pemimpin dan kepemimpinan UMNO diserahkan kepada tiga juta ahli UMNO. Bilangan pemilih dalam kalangan ahli UMNO ini menyebabkan UMNO lebih terbuka kepada orang Melayu, benar-benar parti yang demokratik dan hampir menepati kehendak dan cita rasa sembilan juta pengundi Malaysia berbanding hanya 150,000 wakil pemilih.
Jika UMNO benar-benar ingin menjadi parti yang memperjuangkan agama, bangsa, dan tanah air, matlamat tersebut hanya boleh dicapai jika UMNO menjadi kerajaan. Untuk menjadi kerajaan, UMNO harus menjadi pilihan rakyat Malaysia dan untuk menjadi pilihan rakyat Malaysia, pemimpin dan kepemimpinan UMNO mesti terlebih dahulu dipilih oleh tiga juta ahli UMNO sendiri yang mewakili hampir separuh pengundi di Malaysia. Jika tidak, matlamat perjuangan UMNO hanya retorik semata-mata dan bolehlah disimpan dalam muzium.
Oleh itu, melalui persidangan UMNO akan datang diharapkan ada perwakilan yang dapat membahaskan isu ini secara berani dan terbuka. Isu pemimpin dan kepemimpinan UMNO mengatasi segala-galanya. Ia menentukan jatuh bangun UMNO dalam arena politik negara.
PEMERHATI UMNO
Pontian, Johor.









