Calonkan Sumali nafi hak '3 Din PSM' - Utusan Malaysia

Calonkan Sumali nafi hak ‘3 Din PSM’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Jun – Datuk Seri Ahmad Ismail hanya mencetuskan suasana tidak harmoni dalam kalangan ahli gabungan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) jika menamakan Datuk Mohd. Sumali Reduan sebagai calon penggantinya untuk jawatan Presiden yang bakal dilepaskannya dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) persatuan pada 24 Jun ini.

MARKIMAN KOBIRAN
MARKIMAN KOBIRAN

Presiden Persatuan Sepak Takraw Selangor, Datuk Markiman Kobiran berkata, tindakan Presiden PSM itu sudah pasti mengejutkan malah mampu membuatkan mereka yang lebih senior terutama Timbalan Pre­siden, Datuk Akramuddin Abdul Aziz dan tiga lagi Naib Presiden terasa hati dan berasa terpinggir.

Naib Presiden PSM sekarang ialah Datuk Seri Khairudin Sa­mad, Fudin Chee Abdullah dan Datuk Awang Sham Amit manakala seorang lagi penyandang, Datuk Mohd. Yusof Ismail telah menarik diri bukan sahaja daripada badan induk kebangsaan itu bahkan sebagai Presiden Persatuan Sepak Takraw Kedah (Pestak).

Timbalan dan naib-naib Pre­siden PSM itu masing-masing turut mewakili negeri-negeri ahli gabungan seperti Melaka, Putrajaya, Sarawak dan Sabah yang banyak menyokong kejayaan Ahmad mempertahankan kerusi No. 1 itu dalam pemilihan penggal 2014-2017 pada 13 September 2014 di Johor Bahru, Johor.

“Mungkin ini sebahagian strateginya (Ahmad) tetapi ahli-ahli gabungan PSM boleh berpe­cah belah sedangkan Akramuddin, Khairudin dan Fudin berada dalam regunya pada pemilihan penggal lalu.

“Jika dibandingkan de­ngan Sumali (Ketua Seranta dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Atlet Kebangsaan yang hanya menyertai PSM selepas pemilihan 2014), Akramuddin jelas lebih senior sebagai Timbalan Presiden dan berpengalaman malah mengetuai Jawatankuasa Pertandingan PSM.

“Calon proksi ini turut me­langkau tiga Naib Presiden yang antaranya lebih lama dalam PSM termasuk Awang Sham yang me­nyandangnya secara lantikan (selain pernah dipilih bagi penggal 2010-2013),” kata Markiman yang turut menawarkan diri bertan­ding ‘kerusi panas’ milik Ahmad selama empat penggal berturut-turut sejak 22 Disember 2002.

Mengulas mengenai tindakan beliau mencalonkan diri, Markiman menegaskan bahawa beliau tidak sesekali tergila-gilakan jawatan itu sebaliknya mahu bertanding atas permintaan ramai rakan dan ahli gabungan yang mahu melihat perubahan berlaku terhadap barisan kepemimpinan PSM sekarang.

“Pada akhirnya tujuan saya ialah melihat perubahan yang membawa kecemerlangan sukan ini terutama kejayaan pasukan kebangsaan, bukannya saya suka-suka hendak tumbangkan orang atau gila jawatan,” kata bekas Naib Presiden PSM dari 2007 hingga 2010 itu.

Beliau turut bersetuju de­ngan desakan Timbalan Presiden Masyarakat Bola Rotan (MBR), Saiful Azam Mohammed semalam supaya pemilihan PSM dijalankan secara pengundian sulit.

“Saya mengalu-alukan perwakilan-perwakilan ahli gabu­ngan agar menuntut cara baharu ini digunakan, bukan lagi me­ngangkat tangan apabila menghadiri AGM nanti,” katanya.

“Kita mahukan proses pemilihan kali ini berjalan dalam suasana yang telus, teratur dan demokratik,” katanya yang me­rebut jawatan Timbalan Pre­siden PSM, bergandingan dengan Mohd. Shapian Ali yang mencabar Ahmad dalam pemilihan persatuan sukan kebangsaan antara tertua di Malaysia itu, empat tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN