LUMUT 2 Jun – Hanya kerana perselisihan faham dipercayai disebabkan masalah hutang dan peribadi, seorang lelaki tergamak menembak mati rakannya sendiri dalam kejadian di hadapan sebuah kedai makan di Kampung Koh, Sitiawan di sini semalam.
Tindakan lelaki berusia 62 tahun yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol, tidak berhenti setakat itu apabila dia bertindak nekad menembak diri sendiri di kepala menggunakan pistol milik mangsa.
Dalam kejadian pada pukul 10.50 malam itu, mangsa, Ling Lu King, 66, yang cedera parah terkena empat das tembakan di tangan kiri dan kaki kanan maut ketika dirawat di Hospital Seri Manjung manakala suspek, Chu Phan Hoo, pula mati di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, kedua-dua lelaki yang merupakan rakan perniagaan sebelum itu minum bersama di kedai makan berkenaan.
Menurutnya, berlaku pertengkaran antara mereka sebelum suspek yang mengusahakan ladang ternakan ayam berang dan bertindak menembak mangsa menggunakan senapang patah dari jarak dekat.
“Perselisihan faham itu menyebabkan suspek berang dan melepaskan empat das tembakan masing-masing dua tembakan di tangan kiri dan kaki kanan mangsa.
“Ketika kejadian, suspek yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol telah menembak mangsa dalam jarak dekat dan lokasi itu terletak kira-kira 10 meter dari kedai mereka minum,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Manjung di sini hari ini.
Muhammad Hanif memberitahu, suspek kemudiannya melarikan diri menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Fortuner miliknya bersama senapang patah dan sepucuk pistol yang dirampas daripada mangsa.
Ujarnya, mangsa dan kenderaannya berjaya dikesan kira-kira 20 minit kemudian dalam jarak tiga kilometer dari tempat kejadian.
“Pemeriksaan di dalam kereta tersebut mendapati suspek telah menembak diri sendiri menggunakan pistol mangsa di bahagian kepala dan dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Tambah Muhammad Hanif, mangsa yang parah di tangan dan kaki dibawa ke Hospital Seri Manjung di sini bagi mendapatkan rawatan namun disahkan meninggal dunia selepas mengalami pendarahan yang banyak.
“Mayat kedua-dua lelaki itu dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Kita percaya kejadian tersebut tiada kaitan dengan individu lain namun siasatan lanjut mengenai punca sebenar masih dilakukan. Kita juga menolak kemungkinan kes tersebut berkait dengan kumpulan kongsi gelap dan ah long,” katanya.










