KLANG 29 Jun – Polis menahan seorang lagi lelaki warga asing dipercayai suspek utama bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh pemandu Grab, Aiman Nosri, 27, yang ditemukan maut di dalam kereta miliknya di Taman Selayang Makmur, Gombak dekat sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, lelaki berusia 20 tahun itu ditahan malam tadi di Gombak.
“Suspek yang ditahan malam tadi dipercayai dapat membantu siasatan dan menyelesaikan kes ini. Setakat ini, kesemua individu yang direman bagi membantu siasatan adalah seramai enam orang.
“Kita percaya kes ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat dan suspek akan direman bermula hari ini,” katanya Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di perkarangan IPD Klang Selatan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli.
Setelah dua hari dilaporkan hilang, mayat Aiman ditemukan dipercayai dibunuh di dalam kereta miliknya di tempat meletak kenderaan di Taman Selayang Makmur, Sabtu lalu.
Mayat pemandu yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan itu ditemukan kira-kira pukul 8.20 malam dalam keadaan tertiarap di tempat duduk belakang kereta Perodua Myvi miliknya. – UTUSAN ONLINE











