PUTRAJAYA 29 Jun – Mahkamah Persekutuan sebentar tadi mengekalkan sabitan dan hukuman mati terhadap seorang bekas pengawal keselamatan kerana membunuh seorang kerani bank yang juga teman wanitanya dengan menikam mangsa sebanyak 76 kali, hampir tujuh tahun lalu.
Panel lima hakim diketuai oleh Tan Sri Hasan Lah memutuskan demikian terhadap perayu pertama, Muhammad Faizul Mohd. Ali, 26, selepas menolak rayuan akhirnya.
Kuorum berkenaan bagaimanapun melepas dan membebaskan rakan perayu pertama, Mohd. Zal Haziq Razali, 29, daripada sabitan dan hukuman mati kerana kesalahan yang sama.
Hakim Hasan yang bersidang bersama Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Ramly Ali, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Rohana Yusuf berpuas hati sabitan dan hukuman yang diputuskan terhadapnya tidak selamat untuk dikekalkan.
Pada asalnya, dua sahabat itu dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam kerana membunuh Rozana Mohd. Yusak, 36, di rumah sewa mangsa di premis B-01-15F Jalan Puncak Desa 2, Kepong, dekat sini di antara pukul 12 tengah malam dan 1.15 pagi, 21 Disember 2011.
Muhammad Faizul dan Mohd. Zal Haziq didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati.
Perayu pertama diwakili oleh peguam Ridha Abdah Subri, perayu kedua oleh Jayananda Rao manakala pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aslinda Ahad. – UTUSAN ONLINE











