PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pembentukan kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) merupakan hasil sokongan rakyat yang kuat.
Perdana Menteri itu berkata, kejayaan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu bukan atas usaha beliau seorang sahaja.
Sebaliknya, katanya, sokongan kuat dari akar umbi mengatasi pelbagai rintangan sehingga pemerintah sebelum ini gagal menyelamatkan diri.
“Inilah demokrasi yang bermakna, rakyat bebas memilih kerajaan jika mereka mendapati kerajaan sudah usang dan tidak sesuai hanya dengan cara mengundi kita dapat menukar kerajaan kita.
“Kita tidak perlukan keganasan, peperangan dan permusuhan antara rakyat,” katanya pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Jemaah Menteri di Seri Perdana hari ini.
Sebagai pemerintah, Dr. Mahathir berkata, kerajaan perlu sedar apabila rakyat tidak mahukan mereka lagi maka lebih baik pemerintah mengambil berat pandangan rakyat.
“Dengan pertukaran kerajaan, sokongan luar biasa dan perpaduan semua kaum, negara akan menjadi aman dan kita dapat pulih semula negara ini serta menyelesaikan masalah hutang negara berbilion ringgit yang dilakukan pemerintah terdahulu.
“Ramai pengunjung yang datang mengucapkan terima kasih dan I love u kerana sudah selamatkan Malaysia,” jelasnya.
Dalam pada itu, ujar beliau, dengan kerjasama rakyat, keselamatan dan keamanan negara, kerajaan PH akan dapat memulihkan negara supaya semua rakyat hidup tanpa tertekan dengan kezaliman kerajaan.
“Inilah hasrat kerajaan PH, mudah-mudahan kami dapat tunaikan janji-janji kami kepada rakyat,” katanya.
Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilftri kali pertama bagi kerajaan PH mencatatkan lebih kurang 80,000 pengunjung yang hadir. – K! ONLINE










