Budak lelaki hilang ditemui lemas di dalam sungai - Utusan Malaysia

Budak lelaki hilang ditemui lemas di dalam sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUARAN – Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam sungai di Kampung Sawah di sini ditemui lemas pada pukul 8.38 pagi tadi.

Mangsa, Mohd. Nor Irfan Norajamin, 7, ditemui pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua berhampiran lokasi dia dikatakan terjatuh.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam, dimaklumkan mangsa sedang bermain bersama rakan-rakannya di lokasi terbabit sebelum terjatuh ke dalam sungai.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata, seramai 13 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran termasuk Pasukan Penyelamat Di Air, BBP Kota Kinabalu bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.25 petang semalam.

“Sebaik tiba di sana, pasukan bomba segera menjalankan operasi SAR di sepanjang sungai dan permukaan air. 

“Bagaimanapun, operasi terpaksa ditangguhkan pada pukul 7.09 malam tadi memandangkan hari semakin gelap dan diteruskan semula pada  pukul  6.35 pagi tadi,” katanya hari ini.

Mayat kanak-kanak lelaki berkenaan kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN