JOHOR BAHRU 2 Jun – Bonda Sultan Johor, Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah mangkat semalam.
Laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memuat naik salam takziah atas kemangkatan beliau.
Sementara itu, entri terbaharu Facebook Johor Southern Tigers membuat catatan: “Merafak sembah ucapan takziah kepada seluruh Kerabat DiRaja Johor atas kemangkatan Yang Amat Mulia Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah yang telah kembali ke rahmatullah pada 1hb Jun 2018. Al-Fatihah”.
Adinda Sultan Johor, Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memaklumkan kemangkatan itu menerusi laman twitter baginda hari ini.
“innalillahwainnailaihorojiun… ibu sy hjh kalthom baru kembali ke rahmatullah …. alfatihah,” menurut beliau menerusi tweet berkenaan.
Pihak Jumaah Majlis Diraja Johor mengadakan sidang akhbar mengumumkan perkara itu di Bukit Timbalan pukul 10 pagi ini. – UTUSAN ONLINE










