AMPANG – Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki warga tempatan daripada cubaan membunuh dirinya dari tingkat atas sebuah pasaraya di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 10.54 pagi itu, lapan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang bergegas ke tempat kejadian selepas menerima laporan yang berkemungkinan akan terjun dari tingkat empat kondominium tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Timbalan Penguasa Bomba, Ariff Mohamed Kassim berkata, ketika pasukan penyelamat tiba di tempat kejadian, lelaki tersebut berada dalam keadaan tertekan dan meminta anggota bomba untuk meninggalkannya bersendirian.
“Kami cuba berbual dengannya untuk mengenal pasti masalah yang sebenar dan menenangkan dirinya. Berkali-kali dia suruh kami pulang tetapi anggota bomba tidak berputus asa untuk memujuknya supaya turun.
“Setelah hampir sejam memujuk dirinya, akhirnya dia mengalah dan kami berjaya membawa turun dirinya sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Ariff Mohamed menambah, mangsa merupakan seorang lelaki warga tempatan yang berusia dalam lingkungan 20-an.
“Identiti sebenarnya tidak dapat dipastikan kerana dia tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri dan mendakwa dirinya mengalami tekanan perasaan yang melampau sehingga berniat membunuh diri.
“Lelaki tersebut seterusnya telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang oleh pegawai polis yang berada di kawasan tersebut semasa kejadian,” ujarnya. – K! ONLINE










