KUALA LUMPUR 16 Jun – Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor hari ini menafikan sudah menerima keputusan penuh bedah siasat Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan yang maut dalam kebakaran di kediamannya di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, kelmarin.
Penolong Pengarah Bahagian Penyiasatan Kebakaran Selangor, Hafisham Mohd. Noor berkata, selain keputusan bedah siasat, pihaknya juga masih menunggu keputusan ujian terhadap telefon bimbit yang ditemukan di lokasi kejadian kebakaran tersebut.
“Buat masa sekarang, saya tidak dapat mengesahkan punca sebenar kematian mangsa kerana laporan bedah siasat masih belum diterima dari Hospital Kuala Lumpur.
“Masih terlampau awal untuk menentukan sama ada kejadian mempunyai unsur jenayah ataupun kemalangan, sekiranya ada unsur jenayah, kita akan serah kepada pihak polis untuk teruskan siasatan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa berseorangan di dalam bilik di tingkat atas, manakala isteri serta anak lelakinya berada di ruang tamu di tingkat bawah.- UTUSAN ONLINE










