SAUDARA PENGARANG, KERAJAAN dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) yang ditubuhkan baru-baru ini boleh memberi pertimbangan untuk melabel amalan ‘bodek-membodek’ bagi mendapatkan sesuatu sebagai sejenis aktiviti rasuah dan boleh didakwa di bawah mana-mana akta berkaitan rasuah dalam negara ini.
Mengikut fahaman konvensional masa kini, maksud rasuah ialah ‘penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi.’ Masalah sekarang, suapan itu selalunya difahami orang ramai sebagai perkara yang melibatkan wang atau benda berharga sahaja.
Mengikut takrifan Seksyen 3 Akta SPRM 2009 (Akta 694), ‘suapan’ ertinya:
a) wang, derma, alang, pinjaman, fi, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tidak alih, faedah kewangan, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain.
b) apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat.
c) apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya;
d) apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan.
e) apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga.
f) apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain termasuk perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketidakupayaan yang dikenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada atau tidak sudah dimulakan dan termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi.
g) apa-apa tawaran, aku janji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberikan suapan mengikut pengertian mana-mana perenggan (a) hingga (f).
Menurut takrifan tersebut, secara umumnya suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah dan diskaun.
Tidak ada status jelas mengenai amalan bodek-membodek untuk dapatkan sesuatu sebagai sebahagian daripada suapan atau pun rasuah.
Perlu diketahui amalan bodek-membodek patut dikelaskan sebahagian daripada amalan rasuah kerana amalan ini juga sedikit sebanyak mempunyai kesan buruk sama seperti rasuah sedangkan mereka memang tidak layak untuk memiliki balasan terbabit.
Sekiranya perkara ini tidak dihentikan dari sekarang, nescaya amalan bodek-membodek ini akan terus menjadi sebahagian daripada budaya dalam masyarakat kita serta merosakkan imej negara.
PENSYARAH KANAN










