KUALA LUMPUR 1 Jun – Barisan Nasional (BN) menafikan dakwaan parti tersebut sedang ‘berbulan madu’ dan gagal bertindak sebagai pembangkang yang berwibawa kepada kerajaan Pakatan Harapan.
Ketua Pergerakan Pemuda BN, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya sedang merangka strategi dan penstrukturan semula parti tersebut.
“Kita bukan honeymoon, kerajaan yang sedang honeymoon. Kita sedang rangka strategi, penstrukturan dan pemilihan parti, lagipun kalau cakap banyak semua akan menghentam kita.
“Bukan bermaksud kita tidak menjadi pembangkang yang berwibawa. Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) pun ada mengatakan jangan terlalu cepat nak menilai kerajaan, jadi kita setuju dengan beliau dan kita bagi peluang kepada mereka,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Berbuka Puasa Pergerakan Pemuda UMNO di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun; Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Razlan Muhammad Rafii dan Exco Pemuda UMNO, Datuk Nazir Hussin Aktar Hussin serta 200 ahli Pemuda UMNO dari seluruh negara.
Dalam perkembangan lain, Khairy menegaskan bahawa beliau tidak bersetuju untuk BN bergabung secara rasmi dengan Pas tetapi bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti bergantung kepada isu yang diketengahkan.
Jelasnya, BN sedia menjalin kerjasama dengan mana-mana parti termasuk dalam Pakatan Harapan.
“Kita tak akan jadi pembangkang yang akan membangkang sahaja sebaliknya pembangkang berwibawa dan membantu membina masa depan negara bersama,” katanya.










