KANGAR 1 Jun – Barisan Nasional (BN) negeri hari ini mendedahkan mengapa mereka menolak Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar meskipun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu dipilih oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
![]() |
|
ZAHIDI Zainul Abidin
|
Setiausaha BN negeri, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, Azlan selama ini tidak pernah memberi kerjasama dengan parti termasuk tidak menghadiri mesyuarat perhubungan BN lebih daripada empat tahun.
Selain itu, katanya, polisi-polisi kerajaan khususnya berkaitan soal tanah tidak pernah dibawa berbincang oleh Azlan bersama parti sedangkan perkara itu melibatkan kepentingan rakyat.
Katanya, penolakan tersebut bukan sahaja berlaku di dalam parti malah Timbalan Pengerusi BN negeri itu juga ditolak di kawasan beliau sendiri di Kangar apabila hanya mampu menang dua daripada enam kerusi pada pilihan raya lalu.
“Azlan juga dipercayai melobi Raja Perlis untuk kekal sebagai Menteri Besar meskipun sudah tidak mendapat sokongan daripada parti,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu dalam sidang akhbar, Zahidi hanya memaklumkan bahawa Azlan yang gagal di Kangar tidak layak untuk memimpin parti dan negeri ini secara keseluruhannya.
“Padang Besar menang semua, Arau menang empat dan Kangar hanya menang dua kerusi dalam pilihan raya baru-baru ini. Perkara itu jelas menunjukkan rakyat menolak Azlan.
“Bagaimana hendak pimpin kami, sebab itu kami hendak jumpa Raja Perlis untuk beri penerangan mengenai banyak sebab mengapa mereka menolak Azlan,” katanya.- UTUSAN ONLINE











