AWANG tertanya-tanya rasional Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempertahankan pendirian mengeluarkan kenyataan rasmi dalam bahasa Mandarin. Penggunaan bahasa itu menimbulkan persoalan sama ada bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu dan Inggeris tidak mampu menjelaskan maksud sesuatu kenyataan.
Adakah ia turut menggambarkan rakyat Malaysia belum menguasai bahasa Melayu atau sekurang-kurangnya bahasa Inggeris?
Dalam kalangan pengamal media, tidak timbul isu berkaitan kenyataan dalam bahasa Melayu dan Inggeris kerana wartawan khususnya dididik untuk menguasai kedua-dua bahasa itu.
Jika alasannya untuk memastikan orang ramai yang terdiri pelbagai kaum memahaminya, adakah selepas ini menteri akan turut berucap dalam tiga bahasa pada satu-satu majlis?
Bagaimana pula peluang mereka yang hanya memahami bahasa ibunda?
Sebagai pemimpin kerajaan, Guan Eng perlu berusaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan negara kerana bahasa kebangsaan juga perlu digunakan bagi maksud rasmi. Fahamilah sentimen orang ramai yang mula menunjukkan bantahan dan kebimbangan mereka.
Awang tidak hairan apabila pelbagai label dilemparkan termasuk biadab dan kaduk naik junjung. Isu ini perlu ditamatkan. Tidak wajar pemimpin dan rakyat terus membahaskan isu-isu yang tidak sepatutnya timbul. Tumpuan harus diberi untuk memenuhi impian dan harapan rakyat yang memilih Pakatan Harapan sebagai kerajaan. Sekarang masa untuk bekerja.
AWANG – Pertahan tulisan jawi.










