Bertanding untuk pastikan ada perubahan dalam UMNO - Utusan Malaysia

Bertanding untuk pastikan ada perubahan dalam UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Jun – Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau tidak akan berundur untuk membantu membawa perubahan yang diperlukan parti itu susulan kekalahan pa­ling teruk dalam sejarah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Sambil menyifatkan dirinya sebagai pa­ling senior yang ma­sih berada dalam saf kepimpinan parti, Annuar berkata, beliau menawarkan diri sebagai calon Timbalan Pre­siden UMNO pada pemilihan 30 Jun ini untuk membantu pucuk pimpinan dan Presiden dalam usaha merekayasa semula UMNO sebagai satu wadah perjuangan umat Islam, kaum bumiputera dan bangsa Malaysia keseluruhannya.

“Tidak dapat tidak, merekayasa mesti melibatkan perubahan besar. Perubahan bukan sahaja pada individu tetapi semestinya melibatkan dasar, organisasi, strategi dan modus operandi parti. Saya sanggup bekerjasama dengan Presi­den dan Majlis Ter­tinggi (MT) UMNO untuk memastikan perubahan di­lakukan de­ngan penuh komitmen, cermat, tersusun dan bijaksana,” kata­nya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Annuar yang berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh pada PRU-14 berkata, roh dan falsafah UMNO akan terus dipertahankan, ma­na­kala pendekatan dan amalan wajib diubah.

“Konsep dan penyertaan UM­NO dalam Barisan Nasional (BN) perlu disemak. Prinsip muafakat antara kaum harus diperbaharui, malah cara parti memandang ke hadapan perlu pragmatik dan meneliti pelbagai pilihan yang ada demi mencapai cita-cita membela agama, bangsa dan ta­nah air tercinta.

“Yang paling penting, ini bo­leh dicapai dengan mendapat mandat ahli secara bersama dan penuh kebijaksanaan,” katanya.

Annuar menambah, beliau su­dah 31 tahun menjadi Ketua UMNO bahagian dan 28 tahun ahli MT serta seorang daripada ahli penaja UMNO (baharu) da­lam membina semula parti da­ripada perebutan kuasa tahun 1987 di antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Tengku Razaleigh Hamzah.

Dalam masa yang sama beliau berkata, ketika UMNO direkayasa dan diperkasa, pintu dan jendela kepimpinannya ha­rus dibuka luas kepada pewaris muda yang bakal meneruskan perjuangan parti. – BERNAMA

 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini