SAUDARA PENGARANG,
BUAT julung kalinya saya menggunakan perkhidmatan Kereta Api Berelektrik (ETS) dari KL Sentral ke Alor Setar, Kedah yang begitu selesa untuk pulang beraya di kampung baru-baru ini.
Malangnya, pemandangan di sesetengah kawasan sepanjang laluan tren milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) itu kelihatan semak dan kotor sehingga boleh memalukan negara jika dilihat pelancong asing.
Paling teruk sekitar kawasan kilang dan perumahan setinggan yang begitu kotor malah ramai warga asing dapat dilihat membina rumah setinggan di tanah KTMB, menyidai baju dan tidur atas kerusi malas sebelah landasan kereta api.
Tanpa segan silu berbaring tanpa baju dikelilingi sampah dan kotoran sambil melihat tren ETS melalui kawasan tersebut.
Saya boleh faham jika semak-samun menelan pagar landasan malah tidak pelik melihat ada pagar dipotong oleh orang ramai yang membuat lintasan haram.
Namun, pemandangan warga asing ‘bersidai’ separuh telanjang dan sampah-sarap di tepi landasan amat memalukan apatah lagi dengan imej kemajuan teknologi tren ETS.
Saya harap KTMB dapat ‘membersihkan’ pemandangan di sepanjang landasan kereta api dan memasang pagar lebih baik, mungkin juga tembok batu yang lebih tahan di kawasan tertentu sehingga boleh ‘menyorokkan’ pemandangan kilang dan setinggan itu.
PEMINAT TREN
Selayang, Selangor











