JOHOR BAHRU – Bendera negeri Johor, daerah-daerah dan persatuan dikibarkan separuh tiang mulai hari ini berikutan kemangkatan bonda Sultan Johor, Enche’ Besar Hajah Khalsom Abdullah.
Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, dengan titah perintah Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, bendera negeri Johor, bendera daerah-daerah dan bendera persatuan itu diturunkan separuh tiang mulai hari ini hingga hari pemakaman jenazah Almarhumah.
“Semua masjid utama di negeri ini dititahkan mengadakan majlis tahlil dan doa ke atas roh Almarhumah Hajah Khalsom selepas Maghrib mulai hari ini dan pada hari dimakamnya jenazah Almarhumah.
“Kerabat-kerabat diraja yang damping berkabung pada tarikh ini, kemudian tiga hari daripada dimakamnya jenazah Almarhumah manakala rakyat dan penduduk negeri ini pula berkabung pada tarikh dimakamnya jenazah Almarhumah,” katanya ketika mengumumkan kemangkatan Almarhumah Hajah Khalsom di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan di sini hari ini.
Abdul Rahim berkata, berkabung tidak diwajibkan kepada rakyat dan ia adalah pilihan sendiri, namun sebagai Bangsa Johor, rakyat harus menjunjung tinggi daulat Tuanku. – Bernama










