KETIKA usianya 10 tahun, pewaris empayar perniagaan produk kecantikan Nouvelles Visages (NV), Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 33, atau mesra disapa Rita begitu teruja untuk mengumpul duit raya tidak seperti lebaran sebelumnya.
Anak sulung daripada lima beradik itu memasang impian untuk memiliki sebuah basikal baharu bagi kegunaan hariannya.
Justeru, dia berkunjung hampir ke setiap rumah di Kampung Sri Menanti, Sri Medan, Batu Pahat, Johor semata-mata untuk mendapatkan sebanyak mungkin duit raya.
Meskipun ada jiran tetangga yang memberikannya 50 sen namun ia sudah cukup membuatkan anak kecil itu melonjak gembira.
Kegigihannya membuahkan hasil apabila dia berjaya membeli basikal baharu menggunakan duit raya yang terkumpul.
Kenangan tersebut tidak akan sesekali dilupakan kerana bagi Rita ia dilalui oleh setiap kanak-kanak apabila menjelangnya Aidilfitri.
Walaupun Allahyarhamah ibunya, Datuk Sosilawati Lawiya merupakan seorang jutawan kosmetik tetapi dia tidak mengajar anak-anaknya hidup mewah.
Sebaliknya, dia sentiasa menerapkan sikap bersederhana dalam kehidupan, berdikari dan berusaha sendiri untuk mencapai sesuatu yang dihajati.
Justeru, ibu kepada Kaisar Raees, 6, Khalid Rashad, 5, Khaylila Rafaahiyah, 3, dan Khalil Rizqullah, 6 bulan itu akan memastikan anak-anaknya turut merasai pengalaman indah mengumpul duit raya setiap kali tibanya lebaran.
“Saya mahu anak-anak juga merasakan pengalaman tersebut. Walaupun masih kecil tetapi saya ajar mereka untuk mengumpul duit raya.
“Ia bukan mengenai jumlah wang yang mereka peroleh tetapi momen indah yang sukar untuk dicari ganti,” katanya ketika ditemui di Hotel Royale Chulan, Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.
Penuntut Doktor Falsafah jurusan Pemasaran Perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu memberitahu, sehingga kini dia meneruskan tradisi ibunya setiap kali menjelang Aidilfitri.
Cerita Rita lagi, dia akan membeli kuih raya seperti tat nanas, rempeyek dan dodol daripada adik-beradik ibunya dalam kuantiti yang banyak seterusnya mengagihkan kepada saudara-mara. Ia bukan sahaja membantu melengkapkan juadah pada hari lebaran malah meningkatkan ekonomi ibu bapa saudaranya di kampung.
Enak
“Kuih-muih ini diakui keenakannya oleh tetamu yang merasainya apabila datang berkunjung ke rumah. Saya akan mencadangkan mereka untuk membeli dengan mengambil tempahan.
“Saya tidak akan mengambil untung daripada tempahan tersebut. Niat saya adalah untuk membantu mereka seperti yang dilakukan ibu,” ujarnya.
Malah, Rita memberitahu, dia dan adik-beradiknya akan pulang menyambut Aidilfitri pada malam raya pertama di rumah nenek mereka, Yatmah Abdul Rahman, 87, di Batu Pahat, Johor bagi mengubat rindu kepada ibunya.
“Inilah peluang untuk saya dan adik-beradik beramah mesra dengan sanak saudara. Kami berkongsi pelbagai cerita. “Kami juga mengambil peluang untuk bermaaf-maafan antara satu sama lain. Ia mengeratkan lagi hubungan kami sambil menikmati pelbagai hidangan yang dimasak,” katanya.
Rita menambah, dia juga meneruskan pemberian duit raya kepada saudara-maranya seperti yang dilakukan ibunya suatu ketika dahulu.
Bagi Rita, dengan meneruskan tradisi yang dilakukan sedikit sebanyak mampu mengubati rindu yang terpendam di hatinya.
Juadah raya
Isteri kepada Khamarulazlan Mohamad Hanafiah itu berkata, setiap kali tibanya lebaran, dia adalah insan yang paling sibuk melakukan persiapan kerana ramai yang akan mengunjungi rumahnya di Taman Harmonis, Gombak, Selangor.
Pelbagai juadah dari Johor seperti soto, lontong, sambal, kuah kacang dan rendang akan dimasak untuk dihidangkan kepada tetamu yang datang.
Cerita Rita, adik-beradik perempuannya akan turut membantu menyediakan bahan-bahan keperluan untuk memasak.
Menariknya, jika kediaman lain hanya menggunakan satu atau dua dapur gas sahaja tetapi dia memasang sehingga empat dapur gas untuk mempercepatkan masakan.
Dia mengakui amat gembira apabila tetamu berpuas hati dengan juadah yang dihidangkan sehingga ada yang menambah beberapa kali.
Ternyata, ilmu masakan yang dipelajari daripada ibunya ketika pertama kali menjejakkan kaki untuk melanjutkan pengajian di Universiti Nottingham Trent, Britain pada tahun 2008 tidak pernah sia-sia.
“Dua minggu pertama, ibu tinggal bersama saya di rumah sewa dan dia mengajar pelbagai jenis masakan Melayu.
“Dari siang hinggalah malam, saya belajar memasak. Saya tidak berani membantah kerana ibu amat tegas dan garang,” katanya.
Hasil tunjuk ajar ibunya, Rita berjaya meningkatkan kemahiran masakannya dan dia sering menjadi ‘mangsa’ untuk memasak juadah apabila tibanya lebaran di perantauan.
Rita memberitahu, disebabkan dia gemar memasak, pelajar-pelajar Melayu di universitinya akan berkongsi duit untuk membeli barangan keperluan dan dia dipertanggungjawabkan untuk memasak.
Meskipun lebaran disambut secara sederhana, Rita akan memastikan ia tetap membawa makna terutama kepada anak-anaknya. Rita memberitahu, dia mengajar empat cahaya matanya untuk menghormati orang yang lebih tua.
“Saya tunjukkan cara meminta maaf dengan betul sebab mereka masih kecil dan belajar melalui apa yang kita tunjukkan.
“Saya akan bersalam dengan suami dan mereka akan melihat serta mengikutinya. Begitu juga apabila bertemu dengan saudara-mara, mereka secara automatik dididik untuk bersalam,” ujarnya.
Rita menambah, dia juga mengajar anaknya untuk bersyukur dengan nikmat yang dimiliki dengan membawa mereka memberi makanan kepada gelandangan di sekitar Chow Kit dan Masjid Negara hampir setiap hari Ahad.
Rita mahu anak-anaknya belajar erti bersyukur dan sentiasa melihat orang yang berada lebih bawah daripada mereka.
Walaupun anak-anaknya masih kecil, Rita optimis nilai murni yang diterapkan hari ini akan membuahkan hasil. Rita akan menggunakan hari lebaran untuk mencipta kenangan bersama insan tersayang terutama keluarga tercinta.
“Saya tidak sama sekali menyangka ibu akan pergi pada usia 47 tahun. Bagi saya selagi ada peluang untuk mencipta kenangan bersama insan tersayang manfaatlah kesempatan itu terutama apabila menjelang hari lebaran,” ujarnya.
Bagi meneruskan tradisi arwah ibunya, Rita akan membeli kuih raya seperti tat nanas, rempeyek dan dodol daripada adik-beradik ibunya dalam kuantiti yang banyak untuk diagih-agihkan kepada saudara-mara.










