SOCHI, Rusia 19 Jun – Jurulatih Belgium, Roberto Martinez berkata, dia mula resah dengan terjahan keras yang kerap berlaku ke atas pemain utamanya, Eden Hazard.
Katanya, Belgium sedar mereka boleh kehilangan khidmat pemain bintang mereka itu lebih awal jika Hazard terus menjadi menjadi mangsa pemain pertahanan lawan yang mahu menyekat pergerakan dan kelincahannya.
Hazard banyak memainkan peranan ketika Belgium menewaskan ‘budak baharu’ Piala Dunia, Panama 3-0 hari ini termasuk membantu Romelu Lukaku menjaringkan salah satu daripada dua golnya dalam perlawanan Kumpulan G itu.
Malah dalam usaha untuk menyekat Hazard itu, lima pemain Panama dilayangkan kad kuning oleh pengadil dari Zambia, Janny Sikazwe.
“Satu kebimbangan kerana daripada banyak terjahan keras itu, ia mungkin boleh mencederakannya. Saya tidak bimbang jika itu cara untuk menyekat Hazard. Semua pasukan dibenarkan melakukan apa sahaja sebagai persediaan.
“Tetapi jika terlalu banyak terjahan dibenarkan, ia memberi risiko kepada pemain untuk cedera atau dibuang padang. Kebimbangan saya, kita boleh kehilangan peluang untuk menyaksikan aksi dan kualiti pemain seperti Eden Hazard,” kata Martinez.
Hazard sendiri, kata Martinez, mengaku kepadanya disepak beberapa kali di babak pertama tetapi tidak menganggapnya terlalu serius. – AFP











