SAUDARA PENGARANG,
AKHIR-AKHIR ini sesiapa sahaja yang vokal memperjuangkan hak dan agenda Melayu pasti ‘dicop’ sebagai ahli UMNO, macai pembangkang dan yang lebih teruk, rasis.
Bukan sekadar rakyat marhain seperti saya yang ‘dicop’ dengan label dan gelaran sebegitu jijik, hatta Raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong turut dicaci dengan kata-kata sebegitu keji.
Hinggakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dengan tindakan pihak tertentu yang sejak kebelakangan ini secara terbuka menghina dan memperlekehkan institusi raja, bagi menghasut serta mempengaruhi rakyat agar membenci Raja-raja Melayu.
Saya ingin tegaskan bahawa mempertahankan Raja-raja Melayu,memperjuangkan agenda Melayu dan mendaulatkan agama Islam bukannya rasis bahkan selari dengan Perlembagaan. Mengapa perjuangan Melayu bukan rasis? Perjuangan Melayu bukan rasis kerana definisi rasis itu sendiri menidakkannya. Kita harus fahami dahulu apa itu rasis. Rasis merupakan perkataan yang dipinjam daripada bahasa Inggeris ‘racism’.
Menurut kamus Oxford, ‘racism’ bermaksud bersikap prejudis, diskriminasi atau antagonisme terhadap bangsa lain berdasarkan kepercayaan bangsa sendiri lebih mulia daripada bangsa lain.
Definisi tersebut jelas menunjukkan yang orang Melayu yang didiskriminasi, bukannya kaum minoriti lain di Malaysia.
Buktinya, apabila anak Melayu memohon kerja di mana-mana syarikat, respons yang diterima hanyalah empat peratus berbanding Cina 22 peratus.
Kajian yang mengatakan yang bangsa Melayu mengalami diskriminasi dilakukan bersama Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia, dibawah tajuk Discrimination in high degrees: Race and graduate hiring in Malaysia (Diskriminasi di peringkat tinggi: Faktor bangsa dan proses pengambilan siswazah untuk pekerjaan di Malaysia). Kajian ini diterbitkan Journal of Asia Pacific Economy.
Selain isu pengambilan pekerja, sebuah akhbar tempatan melaporkan Pengarah Hak Asasi Manusia Manusia, Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna-pengguna Malaysia (ERA Consumer Malaysia), Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, amalan diskriminasi pekerja kaum Melayu sememangnya wujud di sesetengah syarikat bukan bumiputera seperti tidak membenarkan pekerja Melayu memakai tudung, disuruh bekerja apabila menjelang atau pada musim perayaan dan sebagainya. Banyak lagi isu yang ada tetapi tidak menang tangan menulis satu persatu dalam artikel ini.
Jelaslah bahawa perjuangan Melayu itu bukan rasis tetapi bangsa lain yang bersikap rasis terhadap Melayu dan sudah jelas lagi bersuluh perjuangan Melayu itu perjuangan melawan diskriminasi dan menuntut keadilan.
Perjuangan Melayu itu juga bukan rasis kerana perjuangan Melayu itu selari dalam Perlembagaan.
Perlembagaan dengan jelas menyebut tentang hak istimewa orang Melayu dalam Perkara 153 yang memperuntukkan kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri termasuk negeri Sabah dan Sarawak.
Berkaitan dengan agama Islam juga disebut dengan jelas dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam adalah agama Persekutuan.
Berkenaan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan turut disebut dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Begitu juga kemuliaan Raja-raja Melayu sememangnya amat jelas dan banyak disentuh dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perjuangan Melayu adalah perjuangan menzahirkan kesetiaan dan memperjuangkan wasiat Raja-raja Melayu yang merupakan ‘tuan’ sebenar Tanah Melayu.
Menurut Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, negeri-negeri Melayu tidak pernah dijajah seperti yang didakwa banyak pihak.
Hakikatnya, negeri-negeri Melayu hanya menjadi negeri naungan British dan Raja-raja Melayu tetap berdaulat dari dahulu hingga sekarang.
IKRAM YUSOF
Rakyat Baginda Agong










