KUALA LUMPUR 5 Jun – Kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi, tidak menimbulkan masalah ke-sesakan lalu lintas antara faktor tapak bazar Ramadan di buka di sesebuah lokasi.
Di Bandar Sri Permaisuri, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan tiga lokasi bazar untuk penduduk setempat membeli-belah juadah berbuka puasa.
Selain bazar Ramadan bersebelahan Pangsapuri Sri Penara, Jalan Sri Permaisuri 1, dua lagi iaitu di Jalan Permaisuri 6 bersebelahan Jabatan Pengangkutan Jalan dan bazar di Jalan Tasik Permaisuri 1, berhampiran Tasik Bandar Permaisuri.
Bagaimanapun, rata-rata pengunjung yang ditemui mempersoalkan kewajaran pemilihan lokasi berkenaan oleh pihak berkuasa tempatan itu.
Mereka mahu bazar berkenaan dipindahkan ke lokasi lebih sesuai pada masa akan datang bagi menyelesaikan beberapa masalah berhubung kesesakan lalu lintas seperti tahun-tahun sebelum ini.
Ini juga kata mereka sebagai usaha untuk memberi keselesaan dan keselamatan pengunjung semasa membeli-belah.
Tinjauan Utusan Malaysia di ketiga-tiga tapak bazar berkenaan baru-baru ini mendapati dakwaan pengunjung berasas apabila kesesakan lalu lintas yang teruk berlaku sepanjang kira-kira 100 meter menuju ke bazar.
Berdasarkan pemerhatian kesesakan paling ketara adalah di bazar Jalan Tasik Permaisuri 1 apabila jalan yang sebelum ini dua hala kini bertukar menjadi satu hala.
Lebih memburukkan keadaan apabila ada pengunjung yang meletakkan kenderaan mereka di bahu-bahu jalan dan secara berlapis sehingga mengganggu kelancaran kenderaan lain keluar masuk.
Tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja menyebabkan kesesakan lalu lintas tetapi turut mendedahkan bahaya kepada pengunjung.
Sehubungan itu pihak DBKL diminta mengkaji semula kesuaian operasi tapak bazar berkenaan bagi memastikan keselesaaan dan keselamatan orang awam.











