KUALA LUMPUR 6 Jun – Ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan sederhana pada 5.4 peratus tahun ini, diikuti 5.1 peratus pada 2019 dan 4.8 peratus pada 2020.
Menurut Laporan Prospek Ekonomi Global 2018 Bank Dunia, ekonomi negara akan terus kukuh dengan eksport meningkat pada separuh pertama tahun ini.
Katanya, bagi negara pengeluar tenaga seperti Malaysia adalah penting untuk menyokong sebarang usaha kepelbagaian dalam sektor minyak, gas dan petrokimia serta merentasi sektor-sektor lain.
“Ini juga termasuklah komitmen untuk menambah baik tadbir urus negara dan persekitaran perniagaan serta mengurangkan sekatan peraturan untuk persaingan dan pelaburan asing, yang mempunyai potensi untuk mengurangkan kebergantungan kepada sektor minyak.
“Selain itu, Malaysia juga merupakan antara negara yang memperbaharui langkah pengukuhan fiskal tahun ini. Namun, Malaysia akan terus berdepan kelemahan dalam sektor kewangan dengan tahap hutang yang besar dan penyertaan asing yang tinggi dalam pasaran bon berdaulat mata wang tempatan,” katanya dalam laporan berkenaan.
Malaysia mencatat pertumbuhan yang baik pada 2017 dengan suku pertama pada 5.6 peratus diikuti suku kedua, 5.8 peratus, suku ketiga 6.2 peratus dan suku keempat, 5.9 peratus menjadikan KDNK keseluruhan 5.9 peratus.
Pertumbuhan itu lebih tinggi berbanding 4.2 peratus dan lima peratus yang dicatatkan masing-masing pada 2016 dan 2015.
Mac lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun ini kepada 5.5 hingga enam peratus berbanding lima hingga 5.5 peratus sebelum ini.
Pada suku pertama 2018, Malaysia mencatat pertumbuhan 5.4 peratus, lebih rendah berbanding 5.6 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.
Berdasarkan laporan Bank Dunia itu, rantau Asia Timur dan Pasifik dijangka mencatat pertumbuhan sederhana pada 6.3 peratus tahun ini kepada purata 6.1 peratus pada 2019 dan 2020.
“Pertumbuhan serantau itu dipengaruhi oleh kelembapan pertumbuhan ekonomi China, yang merupakan negara ekonomi terbesar rantau ini. Bagaimanapun ia kemudiannya melonjak semula pada 2018 dan mencatat kadar yang stabil pada 2019 dan 2020,” katanya.











