KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil keputusan untuk menggugurkan pemain perseorangan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, 27, daripada mewakili negara ke Sukan Asia 2018 kerana didapati merokok semasa kejohanan Piala Thomas di Bangkok, Thailand dan tidak menghadiri latihan.
Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pemain nombor lima negara itu akan digantikan oleh Soong Joo Ven, 23, untuk beraksi di sukan serantau itu seperti yang disyorkan oleh Jurulatih Perseorangan Lelaki negara, Datuk Misbun Sidek.
Berikutan perkembangan terkini itu, Joo Ven akan menyertai Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Tan Wee Kiong, Goh V Shem, Teo Ee Yi, Ong Yew Sin, Goh Soon Huat dan Chan Peng Soon, di dalam skuad 10 orang itu ke Indonesia.
Dengan wawasan unhtuk menjadikan pemain BAM bebas daripada nikotin, persatuan badminton kebangsaan itu juga membuat keputusan akan melaksanakan ujian darah untuk semua pemain badminton di bawahnya.
“Kami akan melaksanakan ujian pertama tidak lama lagi dan pemain yang didapati merokok akan diberikan tempoh tiga bulan untuk menghentikan tabiat itu. Selepas tiga bulan, kami akan mengadakan ujian sekali lagi dan mereka yang didapati positif nikotin akan digugurkan dari skuad kebangsaan,” katanya. – Bernama











