SHAH ALAM – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah mempersembahkan nama calon Menteri Besar Selangor yang baharu kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris untuk pertimbangan baginda di sini hari ini.
Nama Menteri Besar yang baharu itu dipersembahkan Mohamed Azmin semasa beliau menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan di sini.
Bagaimanapun, Mohamed Azmin ketika ditemui selepas pertemuan tersebut enggan mendedahkan sama ada Menteri Besar Selangor yang baharu dipilih dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang kini memegang jawatan Exco dalam kerajaan negeri atau sebaliknya.
Beliau berkata, nama yang dipersembahkan kepada Sultan Selangor adalah berdasarkan perbincangannya dengan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Saya telah mendapat pengesahan nama untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor. Nama terbabit akan diketahui esok dan hanya satu nama sahaja.
“Sama ada dalam kalangan Exco atau tidak, kita tunggu esok,” katanya.
Pertemuan antara Mohamed Azmin dan Sultan Selangor berlangsung kira-kira satu sejam setengah.
Selangor bakal mendapat Menteri Besar baharu selepas Mohamed Azmin yang dilantik untuk menjawat jawatan itu bagi penggal kedua pada 11 Mei lalu telah menyertai senarai 15 menteri Kabinet sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.
Mohamed Azmin mengangkat sumpah sebagai menteri Kabinet pada 21 Mei lalu.
Sultan Selangor sebelum ini telah memberi perkenan untuk Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Selangor yang baharu diadakan esok.
Istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan berkenaan akan diadakan di Balairung Seri Istana Alam Shah, Klang.
Antara wakil rakyat Selangor yang disebut-sebut sebelum ini bakal menggantikan Mohamed Azmin ialah ADUN Seri Setia, Prof. Dr. Shaharuddin Badaruddin; ADUN Sungai Tua, Amirudin Shari dan ADUN Paya Jaras, Mohd. Khairuddin Othman.
Bagi individu bukan Exco, nama ADUN Sungai Kandis, Shuhaimi Shafiei dan Adun Ijok, Dr Idris Ahmad turut disebut-sebut untuk dilantik memegang jawatan itu. – K! ONLINE










