IPOH 8 Jun – Bekas Setiausaha Akhbar kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sewaktu menyandang jawatan Menteri Pertahanan, Datuk Azmi Abdul Malek hari ini mengesahkan akan bertanding sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO dalam pemilihan parti itu.
![]() |
|
AZMI ABDUL MALEK
|
Azmi yang berikrar mahu membantu memulihkan semula imej UMNO serta semangat dalam kalangan ahli parti berkata, beliau telah menghantar borang pencalonan tersebut secara dalam talian pada 2 Jun lalu.
“Saya menawarkan diri untuk bertanding kerana mahu bersama Datuk Seri Mohamad Hasan memulihkan kepemimpinan UMNO. Saya mahu memastikan pemilihan pemimpin UMNO kali ini bebas daripada gejala rasuah atau politik wang.
“Saya akan menggunakan segala kemahiran, kepakaran serta pengalaman saya dalam bidang pengurusan perniagaan, komunikasi media, pendidikan tinggi swasta, firma perundingan kewangan dan sumber manusia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu kepemimpinan tertinggi UMNO,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azmi yang merupakan merupakan bekas Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pasir Salak, pernah berkhidmat sebagai Ketua Komunikasi Korporat di dua buah kementerian iaitu Kementerian Sumber Manusia (2009 hingga 2011) dan Kementerian Dalam Negeri (Julai 2013 hingga September 2014).
Selain itu, beliau juga penah menjadi Ahli Lembaga Penapis Filem di Kementerian Dalam Negeri dari Oktober 2014 hingga September 2015. – UTUSAN ONLINE












