KANGAR 2 Jun – Di sebalik kemelut pelantikan Menteri Besar yang berlarutan selama hampir sebulan, Datuk Seri Azlan Man berkata, beliau akan tetap melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.
Katanya, beliau juga mahu meneruskan agenda pembangunan negeri yang dirancang mahu pun sudah dimulakan sejak penggal lepas.
“Sesetengah projek sudah bermula dan kita akan teruskan seperti mana dirancang dan dipersetujui,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan Ramadan bagi kawasan Chuping di Dewan 2020 di sini, hari ini.
Hadir sama, ADUN Chuping, Asmaiza Ahmad dan ADUN Mata Ayer, Siti Berenee Yahaya.
Seramai 2,332 orang menerima sumbangan sebanyak RM150 setiap seorang dengan perbelanjaan keseluruhan RM349,000.
Dalam pada itu, kesemua 15 DUN termasuk dimenangi pembangkang akan menerima sumbangan sama dalam tempoh terdekat yang melibatkan peruntukan daripada kerajaan negeri berjumlah RM4.5 juta.
Majlis itu adalah acara rasmi pertama dihadirinya bersama-sama penduduk negeri ini sejak dilantik semula menjawat jawatan tersebut pada 24 Mei lalu.
Ditanya tentang bagaimana hendak menghadapi situasi tanpa Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang sehingga kini masih belum dilantik, Azlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong mengakui itu merupakan satu cabaran buatnya.
“Cabaran (tanpa Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) sentiasa ada. Cukup setakat itu,” katanya ringkas.
Beliau walau bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang cabaran dinyatakan itu mahu pun menyatakan tempoh masa untuk melantik Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta tarikh memanggil sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Isu pelantikan Menteri Besar mendapat perhatian meluas media-media massa berikutan majlis pelantikan Azlan yang diperkenankan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail untuk memegang jawatan itu di Istana Arau dekat sini pada 24 Mei lalu, tidak dihadiri oleh kesemua sembilan ADUN BN.
Sehingga kini, kesemua sembilan ADUN BN itu dikatakan sebulat suara menjunjung titah Tuanku Syed Sirajuddin tetapi enggan menyatakan pendirian menyokong pelantikan Azlan sebagai Menteri Besar.
Semalam, BN negeri melalui Setiausahanya, Datuk Zahidi Zainul Abidin menyatakan permohonan ampun kepada baginda berikutan salah faham yang berlaku dalam isu tersebut.
Kesemua mereka walau bagaimanapun tetap dengan pendirian untuk tidak menyokong Azlan yang dikatakan tidak bekerjasama dengan Badan Perhubungan UMNO negeri termasuk gagal menghadiri mesyuarat selama empat tahun.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, BN memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri apabila memenangi 10 daripada 15 kerusi DUN di Perlis.










