PASIR PUTEH 17 Jun – Hanya Tengku Razaleigh Hamzah mampu menyelamatkan pengaruh UMNO dengan imej baharu yang bebas daripada sebarang kesilapan.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, ruang dan peluang perlu diberikan kepada Ahli Parlimen Gua Musang itu yang memiliki aura perjuangan dan pengalaman terlalu banyak dalam merebut jawatan Presiden UMNO.
Namun katanya, tokoh berkenaan terpaksa menghadapi kesukaran kerana UMNO sudah kehilangan kuasa politik, sumber kewangan dan kerenah kepemimpinan yang mencalarkan imej parti.
“Tengku Razaleigh juga akan menghadapi masalah sokongan kenegerian sebagaimana tradisi pertandingan dalam pemilihan dalam kepemimpinan UMNO.
“UMNO bagaikan bahtera yang bocor dan menunggu saat untuk karam. Memerlukan pemimpin berwibawa untuk kembali pulih dalam jangka masa yang lama bagi memikul tanggungjawab sebagai pembangkang yang berhemah, tegas dan konstruktif.
” Bukan sekadar mengukuhkan kredibiliti parti tetapi perlu sama kembali menyakinkan kepercayaan rakyat dan kuasa pengundi. Selagi mana Kerajaan Pakatan Harapan tidak mengulangi kesilapan selagi itu sukar bagi UMNO untuk bangkit semula,” katanya ketika ditemui pemberita pada Hari Terbuka Aidilfitri di kediamannya, di sini, hari ini.
Kamarudin berkata, rakyat sudah berupaya menerima kerajaan semasa berasaskan mandat rakyat menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.
” Malah, Pakatan Harapan menerusi parti-parti gabungan turut menerima kemasukan ahli baharu termasuk dalam kalangan pegawai kerajaan selepas mendapat mandat menerajui negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE










