WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) keluar daripada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) kelmarin dan mengecam anggota-anggota badan tersebut sebagai hipokrit serta berat sebelah terhadap Israel.
Duta AS ke PBB, Nikki Haley datang ke Washington untuk mengumumkan keputusan tersebut bersama Setiausaha Negara, Mike Pompeo.
Keputusan itu membayangkan sikap permusuhan Presiden Donald Trump terhadap badan dunia tersebut dan diplomasi oleh berbilang negara.
Pengumuman mengenainya juga dibuat selepas pegawai kanan UNHCR mengkritik Washington kerana memisahkan kanak-kanak imigran daripada ibu bapa yang mencari suaka selepas mereka memasuki AS dari Mexico.
Haley dan Pompeo bagaimanapun berkata, pengunduran AS daripada UNHCR dibuat selepas usaha bertahun-tahun untuk memalukan majlis hak asasi tersebut supaya membuat perubahan gagal. Washington juga mendesak badan PBB itu untuk memecat negara anggota yang didakwa melakukan pencabulan hak asasi manusia.
“Sudah terlalu lama, Majlis Hak Asasi Manusia menjadi pelindung pencabul hak asasi dan mengamalkan pendirian berat sebelah bermotifkan politik. Gesaan kami supaya perubahan dibuat tidak dihiraukan,” kata Haley.
Badan yang berpangkalan di Geneva itu ditubuhkan pada 2006 untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia di seluruh dunia, namun laporannya sering bercanggah dengan kepentingan AS.
Tumpuan UNHCR kepada kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin di wilayah Tebing Barat yang dijajah Rejim Zionis dan Gaza membangkitkan kemarahan Washington.
“Sejak ditubuhkan, majlis ini meluluskan lebih banyak resolusi mengutuk Israel berbanding semua resolusi lain di seluruh dunia,” kata Pompeo pula.
Langkah AS itu disambut baik oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres kesal dengan keputusan mengejut Washington.
“UNHCR memainkan peranan yang amat penting dalam mempromosi dan menggalakkan hak asasi manusia di seluruh dunia,” katanya.
AS menyertai UNHCR semasa Barack Obama dipilih menjadi Presiden negara kuasa besar itu pada tahun 2009. – AFP










