BINTANG terbaik dunia, Lionel Messi didakwa menerima ancaman keselamatan menyebabkan Persatuan Bola Sepak Argentina membatalkan aksi pemanas badan terakhir menentang Israel di Stadium Teddy Kollek, barat Baitulmuqaddis Ahad ini.
Perlawanan persahabatan antarabangsa itu dijadualkan berlangsung di Stadium Teddy Kollek, merupakan sebuah stadium yang dibina di atas tanah milik sebuah perkampungan rakyat Palestin suatu ketika dahulu.
Terdahulu, para penyokong rakyat Palestin melakukan bantahan di luar pusat latihan pasukan Argentina di Barcelona, Sepanyol dengan sebahagian daripada mereka memakai jersi berjalur putih dan biru serta disembur cat berwarna merah.
“Rasional dan keselamatan perlu diutamakan berbanding hal-hal lain. Kami fikir adalah lebih baik kami tidak pergi ke Israel,” kata penyerang Argentina, Gonzalo Higuain.
Pembatalan perlawanan persahabatan tersebut telah disahkan oleh Kedutaan Israel di Argentina yang menyatakan bahawa aksi berkenaan terpaksa diabaikan selepas bintang Argentina, Messi menerima ancaman.
Messi merupakan duta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Tabung Kanak-Kanak (Unicef) yang menyokong pendidikan dan sukan kanak-kanak selain mencintai keamanan dunia.











