ALOR SETAR – Maritim Malaysia (APMM) bertindak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas A jenis pukat jerut bilis atas kesalahan memukat di kawasan larangan di perairan Langkawi dekat sini semalam.
Bot tersebut ditahan di kedudukan 0.7 batu nautika utara Tanjung Chincin oleh kapal peronda APMM Langkawi kira-kira pukul 9.48 pagi semalam.
Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd. Said berkata, pemeriksaan menemui seorang tekong rakyat tempatan dan 30 awak-awak berusia 20 hingga 68 tahun di dalam bot berkenaan.
Kata beliau, awak-awak terdiri daripada seorang warganegara ini, dua warga Thailand dan 27 lagi warga Kemboja.
“Bot itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu memukat ikan bilis kurang daripada satu batu nautika dari pantai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, bot tersebut dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut untuk tindakan lanjut.
Rozali pada masa sama berkata, pihaknya sedang giat melaksanakan Op Pagar Laut sempena musim perayaan ini bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat. – K! ONLINE










