MADRID 1 Jun – Florentino Perez seorang lelaki yang berpengaruh, tetapi dia sama sekali tidak kelihatan sedemikian sewaktu duduk di samping Zinedine Zidane semalam ketika mengumumkan bahawa jurulatih tersebut akan meninggalkan Real Madrid.
Pengendali warga Perancis itu bertanggungjawab membawa Real merangkul gelaran Liga Juara-Juara tiga kali berturut-turut dan sembilan trofi sepanjang tiga musim dia bersama kelab tersebut.
Biasanya Perez yang melaksanakan tugas pemecatan, tetapi kali ini sebaliknya apabila Zidane sendiri yang memutuskan hubungannya dengan kelab. Apakah yang akan terjadi kepada Real selepas pemergian mengejut Zidane?
Jurulatih itu bersikap telus. Zidane berkata, Real memerlukan perubahan bagi meneruskan rentak kemenangan. Kenyataan Zidane itu ternyata membangkitkan tanda tanya apakah yang dimaksudkannya? Sedangkan Real telah mencapai segala-galanya.
Sudah tentu merangkul gelaran Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali berturut-turut merupakan satu kenyataan yang berbeza, tetapi lambat laun realiti akan menjelma juga. Kesebelasan utama Real ketika menentang Liverpool menampilkan enam pemain berusia 30 tahun ke atas, kesemua mereka merupakan tonggak pasukan.
Pemain tersebut ialah Cristiano Ronaldo, Karim Benzema, Sergio Ramos, Marcelo, Luka Modric dan Keylor Navas. Zidane merupakan jurulatih yang menjadikan Real sebagai sebuah kelab, seorang lelaki yang baik dan dia enggan menjadi individu yang terpaksa mengutip ‘serpihan’ pada ketika pasukan semakin ‘mereput’.
Sebaliknya Zidane meninggalkan Real pada detik yang sempurna. Dia awal-awal lagi sudah dapat menghidu kemeruduman Real apabila menyaksikan skuad bimbingannya ketinggalan 18 mata di belakang Barcelona dalam La Liga dan dia sedar mereka bukan pasukan terbaik di Sepanyol, apatah lagi di peringkat dunia.
“Memenangi La Liga merupakan detik terindah,” akui jurulatih itu, meskipun Real memiliki rekod gemilang dalam Liga Juara-Juara yang mana mereka merupakan juara 13 kali.
Dengan Ronaldo dan Gareth Bale juga dikhabarkan mahu meninggalkan Real, pengganti Zidane kelak mestilah individu yang benar-benar berkaliber untuk menggalas tugas berat itu. – AGENSI
Mauricio Pochettino dan Antonia Conte disebut sebagai calon paling layak, tetapi ada beberapa halangan perlu diatasi Real jika berhajat menggunakan khidmat mereka. Apakah yang bakal berlaku di Santiago Bernabeu pada musim panas ini sudah pasti menarik untuk diikuti. – AGENSI










