Annuar persoal tindakan Fajer - Utusan Malaysia

Annuar persoal tindakan Fajer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) didesak supaya merehatkan segera pengendali The Red Warriors (TRW), Fajer Ibrahim ekoran prestasi buruk pasukan itu pada saingan Liga Super musim ini.

Gesaan itu dilontarkan oleh bekas Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa yang kecewa de­ngan prestasi TRW seolah-olah sudah hilang taring sebagai pa­sukan gergasi pada Liga Malaysia (Liga M) selama ini.

Tanpa berselindung, Annuar menegaskan, kekalahan 0-4 kepada Selangor, Jumaat lalu jelas menunjukkan kepincangan pa­sukan TRW.

Pada masa sama, beliau pelik mengapa Fajer berani meminggirkan tonggak berpengalaman dan memberi ruang luas kepada pemain muda yang masih mentah untuk mengharungi saingan Liga Super.

“Pemain tempatan yang ada sangat rendah tahapnya, tiada jeneral (pemain pengalaman) dalam pasukan.

“Saya hairan macam mana jurulatih boleh turunkan pasukan seperti ini sedangkan pemain berpengalaman kita simpan dan ada yang dijual,” katanya menerusi entri Facebook miliknya semalam.

Difahamkan, prestasi TRW bertambah buruk sejak Fajer diberikan kuasa mutlak oleh Pre­siden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan untuk melakukan rombakan besar-besaran terhadap pasukan dengan melakukan pemutihan ke atas pemain senior.

Selain Annuar, penaja TRW iaitu syarikat Yakult (M) Sdn. Bhd. mahu Bibi Ramjani dan Fajer bertanggungjawab ke atas prestasi merudum pasukan tersebut.

Tanpa berselindung, Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn. Bhd., Hiroshi Hamada turut mahu kedua-dua individu itu bertanggungjawab berhubung tin­dakan mereka membawa masuk pemain import baharu yang dikatakan mahu memperkasakan pa­sukan terbabit.

Hamada berkata, mereka juga perlu memikul tanggungjawab ke atas setiap transformasi dan perubahan TRW seperti dalam perancangan yang dibuat sebelum ini.

“Tolong jangan lupa anda telah menghabiskan wang tajaan, jadi kutiplah seberapa banyak mata untuk TRW agar boleh kekal pada Liga Super 2019.

“Sekiranya gagal, kedua-dua individu ini (Bibi Ramjani dan Fajer) perlu bertanggungjawab sepenuh­nya dan jangan cuba untuk menutup kelemahan itu dengan mencari orang lain sebagai kambing hitam,” katanya.

Ini merupakan kali kedua Hamada meluahkan kekecewaan terhadap prestasi buruk TRW selepas tumbang buat kali keempat berturut-turut ter­masuk kekalahan 0-4 kepada Sela­ngor.

Selepas mengha­ru­ngi 13 perlawanan Kelantan kini menghuni tangga tercorot di Liga Super dengan mengumpul lapan ma­ta dan kekalahan itu menyaksikan Kelantan semakin ham­pir untuk mengucapkan selamat datang ke Liga Perdana musim depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN